Mengenal Kapitalisma

KEDAULATAN DAN GLOBALISASI

Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-Raja. Semua ini adalah ciput. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan hari ini. Semua Tan Seri, Tan Tun, Mak Datin , Pak Haji, Ayatollah, Padri, Sami, Rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi ciput dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini.

Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya? Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya dimana umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalah bertransit di atas muka bumi ini.

Mesti borong! mesti borong! Mesti kena sapu semua nih.

Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke 21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai ‘biji-biji saga’ dan barangan kodi untuk mainan. Manusia moden telah menjadi seperti Toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini adalah untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan.

Sistem kapitalis telah membawa satu budaya dimana ianya mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis – keuntungan maksima – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.

Justeru apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepong di Tanah Besar China telah membubuh malamin dalam tepong untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China sanak saudara mereka sendiri.

Justeru apakah kita hairan apabila kita membaca berita di Sepanyol dan Portugal ada pembekal minyak zaiton telah membubuh minyak hitam yang sudah terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton.

Justeru apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontrektor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal dan hospital dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh rantah.

Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisma. Keuntungan maksima adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini tuhan baru ini telah muncul dimerata pelusuk dunia. Tuhan ini akan berada dimana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis termasuk di Malaysia.

Tiga puluh tahun dahulu – air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, talipon, radio, tv – semua ini adalah milik kita bersama. Semua ini adalah hak milik negara bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini diswastakan.

Siapa sebenarnya yang menelorkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini. Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabal-kabal Illuminati. Para pemikir dari pelbagai ‘think tank’ ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan IMF sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswataan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antrabangsa.

Di belakang dasar penswastaan ini ialah para banker dari kabal Illuminati. Para banker yang telah mengumpulkan berbilion kertas dolar memerlukan pasarana pelaboran baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru. Di Eropah Barat pasaran telah tepu. Maka kabal Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa dibuka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga. Hasilnya kita melihat harta negara kita –air, talipon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank – semuanya bertukar tangan.

Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Russia dan Eropah Timur. Negara-negara ini sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan di serang. Russia telah dipecah-pecahkan. Perang telah dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen – semua ini adalah perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah Timur di jual kepada kaum pemodal antarabangsa.

Sesudah dasar penswastaan di terima pakai – kita mula terdengar apa yang dikatakan – Dunia Tanpa Sempadan. Dunia tanpa sempadan ini ialah agenda Illiminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah. Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja.

Tanpa sempadan hanyalah untuk duit modal masuk ke mana sahaja untuk mencari untung. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksima dimana sahaja dalam dunia ini. Dunia tanpa sempadan ialah untuk para pelaboran antarbangsa bermain ‘tikam dan berjudi’ di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga. Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada tahun 1997 dahulu. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menerbus masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, talipon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.

Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Court Mamoth, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDogal, Shell, Esso – semua ini adalah milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke atas pasaran kita melalui perjanjian World Trade Organisation (WTO). WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung.

Perjanjian WTO ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah – sama seperti perjanjian-perjanjian East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada tahun 1819 dahulu. Sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada tahun 1786. Sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

Dari zaman penjajah dahulu cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba adalah manifesto New World Order. Kabal-kabal Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strateji telah di rancang. Semua telah di susun. Para banker di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka katakan – New World Order atau Dunia Bentuk Baru.

Lihatlah nanti bagaimana kabal-kabal Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menanda tangani Free Trade Agreement. Dalam perjanjian ini tidak ada yang ‘free’. FTA ini akan memaska kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabanga mencari keuntungan maksima.

New World Order ini adalah dunia baru dimana kedaulatan negara tidak wujud lagi. Rancangan NWO ini sedang diatur – Canada, Amerika dan Mexico telah disatukan – kemudian seluruh Selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu – ini akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepali oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.

Lihat sekarang telah wujud Asean dan Apec untuk Asia , African Union untuk Afrika dan Union of South American Nations untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka.

Dalam masa yang tidak lama lagi manusia akan di cap dengan microchip. Tak percaya? Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Microchip ini untuk bayi yang baru lahir – atas alasan untuk mengekori penjahat.

Tetapi hakikatnya microchip ini ialah untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5 – bercuti Sabtu Ahad. Jika sopan dan tekun mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, ipod, Kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis ‘biji-biji saga’ yang dijanjikan. Sila baca 1984 oleh George Orwell dan tonton filem Metropolis oleh Fritz Lang.

Ini bukan satu dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Ini adalah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting. Jika kita gagal untuk memahami garis dan strateji Illuminati maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi. (TT)

( Tulisan ini boleh diambil untuk kegunaan membuat kebaikan )

Jangan Bawa Musuh – Jangan Bunuh Budaya Tempatan

CIRI DAN WATAK MANUSIAWI KETIKA BERJUAL BELI

GEDUNG RAKSASA MENGAUT UNTUNG (TESCO, GIANT, CARREFOUR)

Supermarket

PENIAGA KECIL MENCARI MAKAN

pasar

PENIAGA KECIL YANG AKAN MENJADI MANGSA

pasar2

MATA YANG SONGSANG

Dari negara atas angin – ianya datang dengan angkuh sekali. Besar tersergam – besarnya lebih besar dari semua yang besar. Orang ramai – orang ulu dan orang bandar – tercengang melopong – masuk lalat keluar cacing. Lalu orang ulu dan orang bandar berlabon sesama sendiri tentang betapa besarnya ‘unggun’ ini.

Orang ulu dan orang bandar tidak pernah melihat gunung yang sebesar ini. Mereka tidak pernah melihat pintu yang seluas ini. Maka mereka terus melangok dan melopong. Lalu orang ulu dan orang bandar ini mengheret anak anak mereka untuk turut sama menebeng dan melangok.

Datuk Bandar tersenyum apabila melihat orang ulu dan orang bandar berduyun duyun datang untuk menyembah ‘unggun’ besar ini. Juak juak istana pun berkata inilah kejayaan yang telah di bawa. Inilah dia apa yang dipanggil pembangunan. Inilah dia kejayaan.

Jangan lupa wahai orang ulu dan orang bandar lima tahun lagi undilah aku sekali lagi.

Adalah seorang Mamat yang telah melihat ‘unggun’ ini. Dalam tercengang dan terlopong. Si Mamat ini hampir tidak percaya apa yang dilihat. Maka dianya pun berlari lari pulang ke kampongnya yang maha jauh di hulu. Maka apabila si Mamat sampai ke sebuah pekan di hulu maka dia pun bercerita pada kawan dan taulan. Maka ramailah anak muda melopong dan ternganga apabila mendengar kesah ‘unggun’ yang besar dari negara atas angin ini.

Maka cerita dan kesah ini sambung menyambung. Maka sampailah cerita ini kepada Tok Sidang lalu Tok Sidang membawa kepada Tok Khatib lalu di bawa kepada Tok Penggawa lalu di bawa kepada Tok Guru. Tok Guru yang belum pernah melihat ‘unggun’ yang begini besar seperti yang di kesahkan amat amat berahi. Maka si Tok Guru telah menghantar wakil untuk menjemput tuan empunya ‘unggun ‘ agar datang membawa unggun ini ke kampongnya.

Demikianlah kesah adanya:

Hari ini kita semakin diasak oleh kaum pemodal antarabangsa untuk membuka pasaran dalaman negara kita. Dengan licik sekali kaum pemodal antarabangsa melalui jaringan badan-badan dan lembaga dunia seperti World Trade Organisation, FTA, APEC, Bank Dunia telah memaksa negara-negara di Asia, Afrika dan Latin Amerika untuk membuka pasaran mereka. Semua dilakukan berasaskan akidah dan firman : perdagangan bebas.

Justeru – hasilnya – negara kita sedang dilanggar oleh bencana unggun besar dari gedung Carrefour , Tesco dan Giant.

Gedung-gedung membeli belah ini sebenarnya adalah musuh kepada kita semua – musuh yang datang dari negeri atas angin.

Memang sekali pandang kita akan melihat gedung-gedung memberi khidmat kepada pelanggan. Ini adalah pandangan yang amat juling dari mata yang bula. Pandangan juling ini lahir dari sesiapa sahaja yang tidak memiliki fikrah atau fikrah yang telah bonsai.

Amat disedari bahawa ramai warga berbangga dengan wujudnya gedung gedung ini yang dikatakan memberi khidmat dan keselesaan kepada mereka. Tetapi pendapat ini adalah pandangan juling berjangka pendek – sependek keupayaan otak mereka berfikir.

Betul – sekali pandangan – gedung ini sedang melambakkan bahan-bahan keperluan harian dari sayur mayur, ikan, daging, keperluan dapor, pakaian, pinggan mangkok, perhiasan rumah – malah semuanya ada untuk keselesaan para pembeli. Hanya gajah dan telor naga sahaja tidak ada – yang lain semua ada.

Disebalik semua keselesaan ini – ada racun ekonomi – yang sedang di bawa oleh gedung membeli belah ini. Racun ini meresap dengan perlahan-lahan tetapi yakinlah ianya akan membawa porak peranda ke atas ekonomi kita.

Dalam masa berjangka panjang gedung-gedung ini adalah pemusnah asas ekonomi negara bangsa. Dalam jangka panjang gedung-gedung ini akan menindih, menghimpit dan akhirnya akan mematikan perniagaan tempatan. Dalam jangka panjang gedung gedung ini akan membunuh kedai-kedai kecil. Akan mematikan petani kecil. Akan melupuskan Tok Peraih. Akan mengkebumikan kedai-kedai anak beranak – kedai adik beradik – yang berniaga di pekan dan badar yang menjadi watak pekan pekan kecil kita semenjak beratus tahun.

Ini bukan pandangan orang politik. Orang politik hanya dapat melihat dengan adanya bangunan tegak berdiri maka dengan bangganya mereka menjerit dan melolong – inilah dia pembangunan yang mereka bawa. Para politikus inilah yang membenarkan gedung gedung ini semakin berselirat di tanah air kita.

Wajib kita sedar – ramai orang politik ini tidak faham tentang ekonomi politik. Ilmu politikal ekonomi mereka amatlah kontot lagi cetek. Pembacaan dan pengkajian ekonomi mereka amatlah terhad. Tetapi mulut dan poket mereka amatlah besar. Kerana mulut besar dan akal kontot maka mereka tidak memiliki keupayaan untuk membuat kerja-kerja lain. Yang terbuka hanya menjadi orang politik atau macai politik atau menjadi rakan tidur kaum pemodal antarabangsa.

Orang politik yang tidak memiliki kesedaran ekonomi ini telah dilobi dan dirasuah oleh tuan empunya gedung. Orang-orang politik ini dijadikan orang depan – mungkin diberi saham/mungkin diberi menjadi ahli lembaga pengarah/mungkin diberi amoi – untuk melobi pengelulusan lesen-lesen agar gedung-gedung ini dapat membeli tanah-tanah di kawasan yang stratejik untuk beroperasi dalam tanah air kita.

Memang betul – sekali imbas – dilihat gedung-gedung ini memberikan harga yang murah berbanding dengan kedai runcit di pekan kecil. Memang betul dibawah bumbung gedung ini kita dapat memilih semua yang kita perlukan. Memang betul kita selesa dengan kesejukan hawa dingin ketika membeli belah dalam gedung gedung ini.

Tetapi waspada. Gedung berjaya meletakan harga yang murah kerana mereka menjual dengan volume/jumlah yang amat banyak. Ini dapat dilakukan kerana gedung ini datang dengan modal yang mengunung. Gedung-gedung ini bukan lagi membeli barangan dari Tok Peraih dari kampong sana dan kampong sini. Gedung ini memiliki segala macam gudang untuk mengeluarkan barangan yang akan dijual digedung mereka sendiri.

Untuk gula – gedung ini bukan hanya memiliki kilang gula malah memiliki ladang gula. Bagitu juga untuk tepong – bukan hanya kilang malah ladang gandum sendiri dimiliki oleh gedung ini. Bagitu juga untuk ayam , daging, sayur dan barangan dalam tin atau kotak. Semua adalah milik gedung ini.

Jika kilang itu bukan milik gedung ini seratus peratus besar kemungkinan tuan empunya gedung ini memiliki saham dan kepentingan dalam apa sahaja barangan lain yang akan di jual di dalam gedung. Banyak bahan bahan yang dijual datang dari negara atas angin. Justeru kapal laut dan kapal terbang juga dimiliki oleh gedung ini untuk menghantar barang-barang.

Tesco adalah syarikat membeli belah yang ketiga besarnya dalam dunia. Jaringan kepentingan gedung ini berselirat diseluruh dunia. Kerana ianya bagitu besar maka syarikat ini boleh menentukan harga barangan yang ingin dibelinya. Gedung ini boleh menekan harga bahan yang ingin mereka beli. Ini berlaku apabila mereka telah memonopoli pasaran.

Akan sampai satu ketika di mana kedai kedai kecil tempatan akan lupus kerana tidak dapat menandingi gedung gedung ini. Kedai-kedai runcit di pekan kecil akan tutup. Tok Peraih dan peniaga kecil – pekebun yang bejaja sendiri – akan lupus. Mak Cik penjual sayur, Pak Cik penjual ikan, Abang penjual daging di Pasar Khatijah akan hilang dengan sendirinya apabila Tesco muncul di Kota Bahru. Pasar borong Selayang atau Pasar Chow Kit akan terkapai kapai apabila gedung –gedung ini terus dibiarkan berkembang.

Gedung-gedung ini sedang membunuh pekan pekan kecil. Gedung-gedung ini yang akan mengambil tanah yang amat luas untuk dijadikan tempat letak kereta. Perhatikan rupa bentuk gedung ini. Ianya tidak memiliki nilai-nilai estetika tempatan langsung. Ianya bukan pekan atau bandar. Gedung ini adalah unggun yang menyesakkan pandangan.

Tidakkah disedari bahawa gedung ini tidak akan melahirkan silatulrahim antara pembeli dengan penjual. Tidak ada hubungan kemanusiaan antara si pembeli dengan si penjual – kerana yang menjual hanya kuli-kuli yang diupah seperti robot. Ini amat berbeza dengan hubungan kemanusian antara Mak Cik menjual sayur di pasar Khadijah dengan si pelanggannya. Mereka berkenal suai. Mereka berbual. Mereka merayakan diri mereka sebagai manusia. Mereka bukan hanya robot yang kerjanya hanya membeli sebagai konsumer.

Sedarlah – di kota-kota tradisional di Eropah – gedung-gedung ini dilarang untuk menjalankan perniagaan didalam badar. Mereka dinyahkan ke luar kota. Gedung ini tidak dibenarkan merosakan rupa bentuk kota asli. Kota San Sebastian di utara Sepanyol terus tidak membenarkan gedung ini dibuka didalam pekan. Gedung-gedung ini dilihat sebagai pemusnah budaya tradisional Sepanyol.

Dalam negara kita – kita amat juling – kita amat songsang. Kita gagal untuk melihat mudarat yang dibawa oleh gedung gedung ini. Kita dengan tidak tentu hala – tidak senereh harah mengikut kata orang Negeri Sembilan – merasa bangga kerana wujudnya ‘unggun’ ini di sebelah kawasan rumah kita. Inilah contoh fikrah yang bonsai. Inilah contoh slogan lompong : rakyat didahulukan. Tetapi sebenarkan orang yang berslogan – rakyat didahukukan itu sedang medahulukan kepentingan pemodal antarabangsa.

Tidakah ada kesedaran bahawa gedung ini sedang mengambil alih pekan pekan kita. Tidakkah disedari gedung gedung ini akan membunuh pasar malam kita.(TT)