SISTEM EKONOMI LAH… BANGANG !

BUKAN ORANG TAPI SISTEM

A, B DAN C EKONOMI KITA

Harga gula dan harga bahan bakar minyak baru sahaja naik. Harga leterik akan naik tidak lama lagi. Malah seribu satu macam harga barang barang keperluan yang lain telah, akan dan sedang naik harga. Apa sahaja barangan konsumer yang bersangkutan dengan gula dan bahan bakar minyak petrolium pasti akan naik.

Orang ramai pasti ingin tahu apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Kenapa harga barang keperluan naik. Kenapa dahulu harga murah dan sekarang naik. Apa yang menyebabkan barang naik. Kenapa ianya naik pada ketika ini.

Untuk memahami semua persoalan ini kita wajib memahami sistem ekonomi kapitalis. Malaysia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Dalam dunia ini ada dua sistem ekonomi. Satu sistem ekonomi kapitalis dan satu lagi sistem ekonomi sosialis.

Sistem ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Apa sahaja projek, dasar pembangunan atau kaji selidik yang dilakukan semuanya berkiblatkan keuntungan maksima. Kapitalisma tidak ada agama dan tidak ada bangsa. Di Saudi Arabia kapitalisma beragama Islam. Di Itali kapitalisma beragama Katholik. Di India kapitalsima beragama Hindu. Di China kapitalisma tidak beragama. Yang penting untuk kapitalisma ialah untung bukan agama atau bangsa.

Sistem sosialis berpaksikan kebajikan ramai. Keuntungan bukan jurupandu sosialisma. Pembangunan dibuat bukan untuk kroni atau untuk mencari untung tetapi untuk kebajikan umum. Dalam sistem ekonomi sosialis semua punca punca pengeluaran dan bahan keperluan asas untuk warga seperti air, udara, hospital, makanan, pengangkutan, leterik atau jalan raya dimiliki oleh kerajaan. Keuntungan tidak dijadikan juru ukur atau tangga kejayaan. Kesejahteraan awam diutamakan.

Sistem ekonomi kapitalis ini telah dipaksakan ke atas Malaysia. Pada satu ketika dahulu air, api, hospital , jalan raya, sistem penerbangan awam – semuanya milik rakyat. Hari ini satu demi satu harta orang ramai ini telah dijual kepada kaum pemodal yang kaya dan berduit. Penjualaan harta orang ramai kepada milik persendirian ini dinamakan penswastaan.

Dasar penswastaan ini adalah satu strateji kaum pemodal untuk menaklok dan menguasai punca punca ekonomi yang dimiliki oleh orang ramai. Cara mengambil alih harta orang ramai ini bukan satu pekara yang susah untuk dilakukan.

Kaum pemodal dan kaum kapitalis telah memberikan dana dan sokongan kepada ahli ahli politik. Kaum pemodal dan para kapitalis telah menaja ahli-ahli politik yang akan menyokong dasar penswastaan. Apabila parti dan ahli-ahli politik ini menang pilihanraya maka kerajaan baru ini terus memperkenalkan dasar penswastaan. Inilah caranya dasar penswastaan diperkenalkan di United Kingdom oleh Parti Konservatif Margaret Thatcher satelah mengalahkan Parti Buruh.

Di Malaysia agak berbeza – penswastaan diperkenal melalui Dasar Ekonomi Baru. Dasar Ekonomi Baru ini cuba melahirkan kaum kapitalis Melayu. Justeru banyak syarikat kerajaan – harta orang ramai – telah difaraidkan. Pada dasarnya difaraidkan kepada orang Melayu dan bumiputera. Tetapi akhirnya semuanya diambil alih oleh para cukong yang memiliki modal yang lebih ampuh.

Hari ini api leterik, gula, beras, minyak makan, tepong, jalan raya, universiti, hospital – yang pada satu ketika dahulu dikawal atau dimiliki oleh syarikat milik kerajaan kini telah sekali lagi diambil alih oleh kaum pemodal. Kalau dahulu perkhidmatan menjadi tulang belakang dan iman syarikat dan lembaga ini. Dengan penswastaan rukun iman kaum pemodal ialah keuntungan maksima. Khidmat yang diberikan wajib mendapat pulangan yang menguntungkan.

Justeru kerana itu satu demi satu barang-barang keperluan kita dinaikan harganya. Tuan empunya syarikat, tuan empunya kilang dan para pengedar tidak pernah mahu keuntungan mereka turun. Dalam masa yang sama kerajaan tidak lagi dapat berbuat apa apa kerana syarikat ini bukan lagi milik orang ramai. Untuk memedihkan cerita – para menteri dan kaum keluarga mereka juga memiliki saham dan kepentingan dalam syarikat ini.

Mereka yang membuat dasar penswastaan memiliki kepentingan dalam syarikat yang diswastakan. Malah perjanjian antara kerajaan yang menjualkan harta orang ramai ini masih menjadi rahsia. Apa yang kita diberitahu ialah syarikat syarikat ini berhak – kerana perjanjian – untuk menikkan harga mungkin setiap tahun atau mungkin setiap dua tahun. Kita tidak tahu kerana perjanjian ini masih satu rahsia dibawah Akta Rahsia Kerajaan.

Sistem ekonomi kapitalis negara kita ini juga berkait rapat dengan ekonomi kapitalis sedunia. Turun naik harga barangan di negara luar akan juga mempengaruhi harga barangan dalam negara kita. Ini kerana sistem ekonomi kita telah diikat. Cara kita diikat ialah melalui nilai ringgit yang diukur mengikut nilai dolar. Kita juga – malah seluruh dunia – dipaksa menggunakan dolar Amerika dalam hal jual beli minyak dan ekspot impot.

Pada ketika ini Amerika sedang berperang dengan rakyat Iraq, Afghanistan, Pakistan dan tidak lama lagi dengan rakyat Iran. Perang telah membawa musibah yang maha sangat ke atas ekonomi Amerika. Pada hari ini ekonomi Amerika dalam keadaan lintang pukang.

Ketika ini pengangguran ditahap paling tinggi dalam sejarah Amerika. Kilang-kilang banyak yang ditutup. Berpuluh puluh bank besar dan kecil jatuh muflis. Rumah-rumah banyak yang diambil kembali oleh bank kerana gagal membayar hutang pinjaman. Semakin ramai warga tidor dalam kereta atau merempat. Suasana zaman meleset tahun 1929 telah berulang sekali lagi di Amerika.

Kerajaan Amerika perlu mencari dana untuk menampung perbelanjaan perang. Perang di Iraq memerlukan satu bilion dolar sehari. Hakikatnya pada hari ini Amerika Syarikat telah lama jatuh bangkrap.

Justeru untuk mengapongkan Amerikan dari tenggelam, kerajaan Amerika telah meminjam duit dari Federal Reseve. Caranya cukup senang. Federal Reserve telah mencetak duit dan mengagihkan duit ini kepada kerajaan Amerika. Hutang pinjaman ini akan dibayar oleh warga Amerika. Dengan kekuatan bala tentera kuasaimperial Amerika telah memaksa negara negara kapitalis yang lain termasuk Malaysia untuk menggunakan dolar ini – dolar yang tidak memiliki apa-apa nilai. Selain dari nilai takut – takut digudam oleh bala tentera Amerika.

Perang yang berterusan ini masih tidak nampak pintu damai dan sedah memerosotkan nilai dolar. Apabila nilai dolar merosot maka barang yang kita ekspot bertambah murah. Dalam masa yang sama barang yang kita beli bertambah mahal. Minyak yang kita jual juga menjadi murah kerana kita dipaksa menjual dengan menggunakan dolar.

Semua pembekal – besi, beras, makanan, sayuran – malah apa sahaja yang kita impot dari luar – harganya akan dinaikkan untuk mengimbangi nilai dolar yang jatuh. Negara lain juga tidak mahu mata wang dan ekonomi negara mereka ditarik kebawah oleh kemorosotan nilai dolar. Laku mereka menaikkan harga barangan yang mereka ekspot. Akhirnya barang ini kita beli dengan harga yang semakin mahal.

Satu pekara yang sedang menjerut sistem kapitalis antarabangsa ialah kekurangan bahan bakar petrolium. Setiap hari bahan bakar ini semakin berkurangan. Bahan bakar ini adalah penjana tenaga yang maha penting dalam sistem kapitalis antrabangsa ini. Tanpa bahan bakar ini sistem kapitalis antrabangsa ini akan runtuh.

Apabila harga bahan bakar petrolium naik dipasaran antarabangsa maka tidak dapat tidak harga minyak dalam negara kita akan naik juga. Ini telah dan sedang kita lihat berlaku. Kenaikkan harga bahan bakar petrolium ini akan melibatkan asas ekonomi kapitalis. Tidak ada yang selamat dari bencana yang akan dibawa oleh kekurangan bekalan bahan bakar petrolium ini. Apabila bahan bakar petroilum kurang dipasaran dunia maka semua negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis akan menghadapi krisis yang maha besar.

Harus kita semua menerima hakikat bahawa bahan harga bakar petrolium ini akan terus naik dari hari ke hari. Ini kerana minyak makin berkurangan. Ini juga bermakna semua harga barangan yang kita lihat hari ini akan terus berubah menjadi lebih tinggi.

Kerajaan Najib Rosmah ketika ini telah mula menjalankan dasar untuk melupuskan subsidi. Ini adalah atas tekanan kaum pemodal tempatan dan antrabangsa. Mengikut hujah jahat kaum kapitalis harga barangan tidak perlu disubsidi kerana ini akan menempangkan pasaran. Untuk kaum kapitalis tuhan mereka ialah pasaran. Pasaran lah yang akan menentukan semua.

Kerajaan Najib Rosmah tidak ada pilihan. Najib sendiri dengan kes pembunuhan Altantuya sebagai latarbelakang tidak dapat melarikan diri dari tekanan Amerika. Dalam masa yang Najib juga memerlukan sokongan para cukong dari MCA. Para cukong kini telah mula bersuara untuk meminta kerajaan kurang memainkan peranan dalam percaturan ekonomi negara. Ini kerana para cukong dan kapitalis antarabanga mahu harta-harta rakyat yang masih dipegang oleh kerajaan dapat mereka bolot.

Yakinlah dalam masa yang terdekat lebih banyak barang akan dinaikan harga. Lebih banyak subsidi akan ditarik kembali. Rakyat Malaysia hanya ada satu pilihan mengubah kerajaan yang ada sekarang atau terus terperangkap dalam saistem ekonomi yang menindas.

(TT)

Mari Kita Bersama Memahami Apa Dia Sistem Dua Parti

WALAU PUN TULISAN ARAB – IANYA MASIH MILIK MUSUH UMAT MANUSIA

PEPSI DAN COKE – ADIDAS DAN PUMA

Pada tahun 2009 ini wacana politik dalam negara kita cuba menyebarkan berita tentang kemungkinan terwujudnya sistem dua parti – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Malah huh hah huh hah tentang sistem dua parti ini telah tersebar lama. Ada yang menyeringai gembira seperti di malam pertama bedua-duaan di bilik bersama kekasih bila mendengar kemungkinan ini.

Sistem dua parti ini adalah satu penipuan. Satu illusi yang dirancang oleh kaum pemodal. Satu pemesongan projek demokrasi yang amat terancang untuk mengkaburi mata orang ramai agar gagal melihat intipati politik dan makna hakiki demokrasi.

Lalu saya bertanya adakah sesiapa yang dapat membezakan Pepsi dengan Coke? Adakah sesiapa yang dapat membezakan Adidas dengan Puma? Hakikatnya – pemilik saham Pepsi adalah juga pemilik saham Coke. Hakikatnya – Puma dan Adidas adalah dua beradik yang membuka peniagaan yang sama – satu kedai di kiri jalan dan sebuah lagi di kanan jalan. Kedua-duanya mengamalkan sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan. Yang membezakan hanya ejaan nama yang bermula dengan A dan P.

Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat. Apa yang mereka pertahankan bukan saekar kebun getah atau sebuah Kancil. Yang mereka pertahankan ialah sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembongkan saku dan dompet mereka. Sistem ini telah menjadikan mereka senang lenang dan kaya raya dengan harta berbilion-bilion dolar dan ringgit.

Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia dalam dunia hari ini sebenarnya adalah kuasa kaum pemodal. Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik and parti apa yang turun. Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan. Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di parlimen untuk mengubal undang-udang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi.

Perhatikan bagaimana undang-undang yang diluluskan di parlimen TIDAK akan dan TIDAK pernah menyebelahi kepada kepentingan kaum buruh atau kaum pekerja. Perhatikan cukai mukai yang di kenakan. Pemotongan cukai untuk kaum pemodal akan diutamakan. Dalam masa yang sama mereka yang miskin akan berselirat dengan cukai mukai. Kalau tidak percaya sila tunggu cukai baru : Cukai Barang dan Khidmat. Akan terlondeh seluar dalam Mak Minah dan akan tergadai Cupcai Pak Ali bila cukai ini sampai.

Jika masih belum yakin biar saya nyatakan satu lagi contoh terbaik : lihat apa yang terjadi kepada dasar kerajaan Pakatan Selangor yang melarang bangunan didirikan di lereng bukit. Ini cita-cita Pakatan Rakyat ketika berkempen untuk membawa kebaikan dan keselamatan kepada warga. Lihat apa yang berlaku dibelakang tabir. Kaum pemodal – pemaju dan para kontrektor telah melobi. Akhirnya larangan ini ditarik kembali. Kenduri menarah bukit diteruskan kembali.

Lihat pula apa yang terjadi apabila berlaku runtuhan di Bukit Antarabangsa. Laporan yang ingin diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal kerana laporan ini disimpai oleh Akta Rahsia. Akta seperti ini semuanya diwujudkan untuk memastikan kaum pemodal – syarikat pemaju , kontrektor dan syarikat air – terselamat dan keuntungan mereka terjamin. Yang mati terkambus telah selamat ditalkinkan – jangan buat bising biarkan badan mereka dimakan cacing.

Ini bukan tohmah, propaganda atau berita putar yang saya ajukan kerana saya muflis dan tidak memiliki harta kekayaan. Ini adalah hakikat dihadapan mata kita. Buka mata dan dengar. Buka telinga dan lihat. Klik komputer dan baca. Jangan menjadi Mat Malas. Ketuk kepala lutut dan goncangkan kepala untuk berfikir. Nilai dan fahami mana yang tohmah, mana yang putar alam dan apa dia kebenaran

Kaum pemodal dan para kapitalis bergerak dengan licik. Ketika ini kaum pemodal di Malaysia melihat dan membaca tanda-tanda politik yang sedang berlaku dalam negara ini. Mereka menyedari bahawa gaya dan politik lama yang selama ini membawa keuntungan yang amat lumayan tidak mungkin akan berterusan. Apa yang terjadi pada 8 March 2008 mengajar mereka untuk memahami bahawa warga dalam negara ini mahukan perubahan dan sedang menuntut hak demokratik mereka.

Dengan arif dan dengan wang ringgit – kaum pemodal merancang untuk melahirkan apa yang dipanggil sistem dua parti. Contoh sistem dua parti ini sedang kita lihat berjalan dengan lancar di United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Di UK ada Parti Konservatif dan Parti Buruh. Di Amerika ada Parti Republican dan Parti Democrat.

Parti-parti ini bertukar ganti untuk menjalankan pentabiran. Madame Thatcher dari Parti Konservatif akhirnya diganti oleh Tony Blair dari Parti Buruh. George Bush Senior dari Republican di ganti oleh Bill Clinton dari Democrat. Kemudian Clinton di ganti oleh George Bush Junior yang kemudiannya digantikan pula oleh Barack Obama dari Parti Democrat.

Parti politik dan susuk yang memimpin pentabiran kelihatan ini bertukar berganti. Tetapi hakikatnya sistem ekonomi kapitalis tidak berubah. Inilah dia silap mata Pepsi Cola dan Coca Cola yang selama ini telah berjaya menipu. Kapitalisma tidak berganjak. Kaum pemodal tidak hilang keuntungan walau parti mana pun yang naik atau turun.

Justeru, perubahan antara Democrat ke Republican atau dari Konservatif ke Parti Buruh hanyalah satu ilusi untuk menipu orang ramai. Tidak ada apa-apa perubahan yang hakiki telah berlaku. Tuan punya bank masih kaya raya. Tuan punya kilang masih memerah tenaga buruh murah. Para kontrektor masih membalon orang ramai. Cukai masih di tahap yang sama. Kaum pemodal terus melipatkan gandakan keuntungan.

Orang ramai dan para pengundi digula-gulakan dengan perubahan dari parti ini ke parti itu. Dari presiden yang ini ke presiden yang itu. Ini adalah helah kaum pemodal agar orang ramai tidak akan menuntut perubahan sistem yang sedia ada.

Didalam kempen-kempen pilihan raya kita akan mendengar labon dan heboh heboh dari Mat Heboh yang ingin menjadi YB. Teliti dengan rapi : mereka semuanya berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik dari yang sedia ada.

Apa sebenranya janji-janji para Mat Heboh bakal YB ini? Mereka berjanji akan menjalankan pentabiran dengan lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih. Ini ertinya mereka berjanji akan menjadi Mat Heboh yang lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih kepada kaum pemodal. Merekalah Mat Heboh yang terbaik untuk mengendalikan sistem ekonomi kapitalis ini.

Tidak pernah kita mendengar bahawa yang haprak dan yang membawa kemudaratan terhadap umat manusia hari ini ialah sistem ekonomi kapitalis yang mengajukan rukun iman : keuntungan maksima.

Rukun iman inilah yang sedang membawa porak peranda kepada kita semua hari ini. Keuntungan maksima yang dijadikan rukun iman ini akan membolehkan apa sahaja dilakukan asalkan ianya membawa untung. Balak dikeluarkan kerana ianya membawa untung. Pelacur datang dari China kerana ianya membawa untung. Hospital diswastakan kerana ianya membawa untung. Dadah diniagakan kerana ianya membawa untung.

Jika kita menyedari hakikat ini maka kita tahu bahawa sistem dua parti ini adalah kong kalikong. Tidak ada apa apa perubahan hakiki yang akan berlaku jika yang diajukan untuk dipilih hanyalah siapa yang lebih cekap mentabir sistem kapitalis.

Adakah Barisan Nasional lebih baik untuk keuntungan kapitalis atau Pakatan Rakyat yang akan mentabir dengan baik sistem kapitalis ini? Jika ini yang dipersoalkan maka saya jamin kita semua kena tipu oleh kaum pemodal dengan sistem dua parti yang sedang mereka rancangkan.

Apa yang seharusnya kita tuntut bukan sistem dua parti. Bukan siapa yang lebih cekap dan lebih amanah mentabirkan sistem kapitalis. Yang wajib menjadi rukun iman kita ialah menghancurkan sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksima. Yang menjadi rukun iman kita ialah kita berjuang untuk melahirkan sistem ekonomi yang berasaskan kebajikan untuk umat manusia.

Sistem dua parti atau dua ratus buah parti ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki jika kita masih lagi dalam sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maksima. Apa yang wajib kita sokong bukan mereka yang berijazah, berdatuk, bertun atau berserban – ini tidak penting. Yang penting ialah mereka yang kita pilih akan berani bangun berjuang untuk melahirkan satu sistem ekonomi yang berimankan kebajikan untuk manusia.

Kita jangan ditipu untuk diberi pilihan sama ada untuk membeli kasut Adidas atau kasut Puma. Kita mahukan kasut kulit yang baru. Kita jangan ditipu untuk memilih Coke Cola atau Pepsi Cola. Kita tidak mahu minuman itu. Kita mahu air advocado yang sehat untuk umat manusia.(TT)

nota: tulisan ini boleh diambil untuk membuat kebaikan

Demokrasi untuk siapa?

Sering diperkatakan bahawa adalah penting untuk sesebuah negara untuk mempunyai demokrasi. Hanya dengan demokrasi sahaja kemajuan dapat dicapai. Namun pada asasnya ramai yang tidak tahu apa sebenarnya itu demokrasi. Keadaan sedemikian menyebabkan pemimpin-pemimpin melaung retorik-retorik demokrasi tetapi sebenarnya konsep ini membawa banyak masalah. Yang ada akhirnya adalah pemimpin-pemimpin, yang pertamanya tidak membawa apa-apa perubahan dan hanya menunggu masa untuk hilang, dan keduanya,  mereka yang pseudo-demokratik dan cacat.

Setiap kali dibicarakan dasar atau prinsip untuk majukan negara, antara perkara pertama yang mesti disebut adalah demokrasi, baik dari mereka yang setakat retorik atau mereka yang idealis tetapi tidak mencapai apa-apa. Difikirkan kembali, kenapa perlunya demokrasi?

Secara asasnya, demokrasi itu hanya melambangkan ‘herd mentality’. Jika dilihat keadaan negara, inilah yang berlaku. Semua ikut tanpa bertanya, asalkan semua lakukan begitu. Tapi apakah sebenarnya yang diikuti? Seringkali disebut sahaja Agenda Melayu? Tetapi apa sebenarnya agenda Melayu? Daripada 50 tahun dulu hingga sekarang, apa yang berkembang? Ekonomi Malaysia secara keseluruhannya masih lagi bergantung pada minyak dan hasil pertanian, secara keseluruhannya. Sekiranya tidak tepat sekalipun, boleh dikatakan bahawa ekonomi Malaysia hanya ekonomi bahan mentah. Ini yang menyebabkan Malaysia dieksploitasi. Mengeksport minyak dan kelapa sawit dulu, kini, dan selamanya.

Tapi ada juga yang ikut. Semua juga ikut. Perkongsian kuasa? Adakah betul ada konsep sebegitu? Yang ada cuma ‘yang menurut perintah’. Baru-baru ini ada mereka yang melaungkan pembaharuan. Reform? Ini satu lagi cubaan untuk lebih demokratik. Tetapi demokratik untuk apa? Selalunya tidak ada pun konsep demokrasi. Dikatakan demokrasi penting untuk lebih terbuka. Tetapi hakikatnya demokrasi tidak pernah begitu. Yang ada cuma sekumpulan elit sahaja yang buat keputusan kemudian yang lain ikut serta. Selalunya begitu. Bukan sahaja dulu tidak demokratik. Sekiranya ingin demokratik pun, tidak akan ada demokrasi kerana demokrasi tidak pernah jadi.

Yang ada hanya mereka yang ikut sahaja. Ikut beramai-ramai, kononya seperti faham agenda tetapi sebenarnya tidak.

.

Di rantau Asia, tidak ada lagi satu negara yang mencapai kemajuan dengan demokrasi. Jepun, Korea, Taiwan, yang dikatakan antara negara paling maju di Asia, tidak memeluk demokrasi secara jatinya. Sekarang China, yang dikatakan ‘superpower’ terbaru, merupakan negara berpolitik komunis.

Tidak ada hujah untuk mengatakan bahawa demokrasi diperlukan. Baru-baru ini, masalah yang berlaku Malaysia timur, negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan pada mulanya juga Perak, perlihatkan tiada kepimpinan yang tegas dan utuh. Demokrasi?