Benci Jadi Suka…

Sedang membaca buku Al-Muntalaq oleh Abu Ammar, terpaku dengan petikan ini:

“Secara fitrahnya, manusia sebenarnya bencikan kehinaan.

Tetapi dengan pelbagai keadaan dan peristiwa yang berlaku, tanpa disedari mereka tunduk secara beransur-ansur. Sedikit demi sedikit mereka menjadi terbiasa di dalam kehinaan.

Ianya ibarat singa yang telah dijinakkan.

Namum begitu, saki baki unsur kemuliaan masih berbaki dijiwa dan masih mengalir bahang panasnya di dalam darah.

Apabila ada sahaja da’i yang menyeru kepada kemuliaan, memanggil kepada kebebasan, membangunkan jiwa yang lena dan menggerakkan semangat yang nyenyak,maka berdenyutlah kemuliaan di dalam jiwanya dan menyalalah bara di dalam sekam.

Bangkitlah semula sifat kemanusiaan di dalam diri manusia, mereka tidak sekali-kali menerima penghinaan.

Mereka pun bangkit berjihad dan melihat segala apa yang dihadapinya di dalam jiliad itu lebih ringan daripada diperhambakan, malah lebih baik daripada kehidupan kebinatangan.

Kehinaan yang menimpa manusia yang disebabkan oleh orang lain atau oleh faktor luaran, cepat sembuh dan mudah dihapuskan.

Sebaliknya, jika kehinaan itu timbul dari dalam diri dan terbit dari hati, itu adalah penyakit yang sangat berbahaya dan merupakan kematian yang tidak disedari.

Oleh itu, golongan taghut yang zalim sengaja menerapkan kehinaan kepada orang ramai melalui pendidikan yang hina dan asuhan agar tidak segan silu tanpa tatasusila.

Mereka membentuk para belia dengan pelbagai taktik dan strategi yang bertujuan untuk mematikan hemah yang mulia dan memadamkan semangat juang agar kekuasaan sentiasa berada di tangan mereka yang zalim itu.”

Abdul Wahab Azam, Al-Shawarid, m.s. 318

(ThinkPlanAct)

Bahagianya Kecelakaan, Celakanya Kebahagiaan


.

Benarkah kamu hebat? Mereka kata kamu mempunyai akal dan rasional. Boleh bertindak dan berfikir. Miliki, mengawal kebebasan untuk membina dan mengubahsuai alam mental dan fizikal. Adakah begitu?? Didengar kamu dicipta lebih kurang 200 tahun dahulu. Seluruh dunia berpesta menyambut kedatangan kamu. Pernah ditulis, banyak dikorban untuk menerima kamu.Mati untuk apa? Kerana kamu la! Kamu ini, yang dikatakan membawa cahaya pencerahan. Yang dapat mengubati mereka yang sakit, membawa kekayaan kepada mereka yang miskin, naikkan keadilan menentang penindasan, dan membuka mata yang sebelum ini buta. Semua datang la melihat ciptaan yang agung ini.

Tidak! Kamu jangan menipu! Yang ada hanya kemusnahan dan penindasan.

Kemusnahan dan penindasan?? Ini kekuatan. Yang lemah mesti disingkirkan! dijatuhkan! naikkan, tegakkan api pencerahan! Kebebasan, keadilan, kesaksamaan. Nilai yang suci, pegangan suci. Kini bebas, dengan rasional dan hak alam. Untuk bawa kebaikan kepada yang lemah, yang tidak berpendidikan, yang tidak faham.

Tunggu! Hormat lah, jangan angkuh! Pernahkah kamu fikir dari mana kamu datang?  Kamu wujud untuk sebab, untuk tujuan yang lebih besar, yang lebih bermakna. Datangnya kamu, kehadiran kamu, hanya kerana izinnya. Kamu di sini untuk membuat kerjanya.

Kelahiran kamu dibenarkan. Kamu dilahirkan hanya kerana saya! Tanpa saya tidak mungkin kamu wujud! Tidak akan wujud! Ikut la cakap, ikut la perintah dan semua akan dilindungi, dijagai. Yang ingkar, yang angkuh, yang mencabar, akan dihukum.

Semua yang diperlukan telah sedia ada. Jangan berfikir! Jangan bertanya! Kenapa hendak berfikir, bila semua yang sedia ada, yang diberi, sudah penuh sempurna?

Tunduk! Dengar kata-kata saya! Bacalah kata-kata saya! Yang disampaikan untuk sepanjang zaman. Kembalilah sebelum terlambat. Semua akan dimaafkan, diberi peluang.

Apa yang kamu merapu? Mengarut! Kamu ini yang tidak wujud, tidak kelihatan. Bukankah kamu sudah mati sejak dulu lagi? Berambuslah! Janji kepada nilai-nilai, impian, yang tidak dapat dicapai, diperolehi.

Lihatlah datangnya manusia merdeka, manusia berfikir. Ciptaan, pencapaian terunggul. Tuan kepada segala-galanya. Kamu bebas! Buat lah apa sahaja yang kamu ingin. Ciptaan teragung, ciptaan terhebat. Tiada, tidak ada yang menghalangmu. Suara karut, kata-kata yang menggilakan sudah, mesti dibisukan.

Bangkitlah! Runtuhkan lah segala-gala yang menghalangmu. Penderitaan adalah kegembiraan. Kesengsaraan adalah kecantikan. Pembunuhan, keindahan.

Bagaimana lagi kalau tidak begini? Ciptaan terunggul. Ciptaan kebanggaan.

(Diskopi)

Semua orang Pembawa Lentera?

>

Iman itu tidak punya dasar. Beriman itu seperti masuk ke dalam lubang gelap. Tidak tahu apa yang ada di sana. Entah kebahagiaan atau malah malapetaka (Soren Kierkegaard). Jika kata Kierkegaard iman adalah lubang gelap, maka falsafah adalah lenteranya. Lentera itu akan mati jika sesuatu telah diimani. Tapi setidaknya, falsafah mampu menerangi perjalanan menuju lubang gelap itu semua. Mereka sedar, jika iman tidak dihadirkan, selamanya mereka takkan pulang. Iman itu setidaknya berkata tentang: kami percaya, bahawa kami harus pulang. Maka bubarlah para pembawa lentera. Dengan lentera yang gelap dan kosong. Yang akan mereka nyalakan lagi jika mata sudah bosan dengan kepekatan (Sharif Maulana).

Lentera tetap pasang bukan untuk menerangi perjalanan menuju lubang gelap tetapi untuk terus menerangi apa yang diimani. Mungkin apa yang diperkatakan Kierkegaard, iman yang taklid, dimana gelap itu tidak perlu di‘cerah’kan lantaran telah percaya. Tetapi bukankah itu umpama mengimani apa yang kita sendiri tidak tahu (baca: gelap), walhal Tuhan itu ingin dikenali.. Aku adalah perbendaharaan tersembunyi. Aku ingin dikenal, maka Aku mencipta dan dengan demikian Aku dapat dikenal (Hadis Qudsi) Dan jika kita imani apa yang kita tidak tahu ia telah menidakkan akal rasional. Dan bagi aku pertentangan antara akal dan agama sama sekali tidak wujud. Al – Quran itu empiris. Islam itu juga rasional. Makanya, kebahagiaan atau malapetaka yang dimaksudkan itu kita tahu bahkan kita yang pilih. Makanya, manusia hanya mampu mengenal Tuhannya dengan Cinta berdasar ilmu bukan taklid.

Jika dahulu dalam agama primitive, manusia menyaji kekuasaan supernatural agar ikut kemahuan manusia sendiri, kini dalam agama monotheisme, sebaliknya; manusia tunduk kepada kemahuan Tuhan. Tunduk dalam erti menyerahkan semula nilai kebertuhanan (baca: kemahuan Tuhan) untuk dinikmati setiap manusia. Yang dimaksudkan ialah taslim qalb dimana cinta itu berada. Syaitan juga mengakui kebesaran Tuhannya namun ia tetap dilaknat sebagai kafir. Kenapa? Kerana ingkarnya dia terhadap kesedarannya tentang kebenaran (Muttahari). Tidak taslim hati lantaran ego dan kesombongan yang ditunjukkan di hadapan Tuhannya. Taslim al – jism tidak diperkirakan sebagai tahap yang penting kerana manusia itu amat mudah dibelenggu raganya tetapi tidak jiwanya—Galileo Galilei diseksa untuk ubah pegangannya, fiziknya rapuh tetapi ia tetap menulis di atas tanah dan mereka mendapati “Taubat Galileo tidak akan pernah menghentikan bumi untuk tetap berputar (mengelilingi matahari).” Hal ini menunjukkan pegangannya, qalbunya tetap walaupun jasadnya tidak mahu lagi berkompromi dengan dirinya sendiri. Cinta membuatkan kita kuat!

Mungkin ini yang diimani Gandhi 15tahun, memiliki keberanian untuk menerima hukuman atas kesilapannya. Ayahnya, kemudian, menangis dan memaafkannya. Inilah pelajaran Gandhi yang pertama mengenai kekuatan dari kebenaran untuk membangkitkan cinta dan kekuatan dari cinta untuk membentuk hati. Oleh hal yang demikian, dalam menuju Kebenaran (baca: Tuhan), cinta perlu, tetapi Cinta yang membuatkan kita kuat. Tidak mustahillah mengapa Gandhi akhirnya percaya kepada toleransi agama, dimana ia lebih kepada cinta yang beliau percaya ada pada semua manusia yang berbeza agama dan CINTA juga merupakan nilai kebertuhanan yang agung.

>
Tuhan tidak menghendaki kamu semua menganut agama yang tunggal. Keragaman agama itu dimaksudkan untuk menguji kita semua. Ujiannya adalah seberapa banyak kita memberikan kontribusi kebaikan kepada umat manusia. Setiap agama disuruh bersaing dengan agama yang lain dalam memberikan kontribusi kepada kemanusiaan. (Jalaluddin Rakhmat).

An-Nahl berbicara Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya “ikhtilafu ‘ummati rahmatun” beza antara umatku membawa rahmat. Bahkan kamu akan ditanya tentang APA YANG TELAH KAMU KERJAKAN. Jadi, pokoknya nilai kebaikan (cinta) yang mampu diberikan setiap dari kita bukan soal engkau agama apa. Tetapi manusia itu tetap tolol. Kini, telah terjawab bagi aku kenapa malaikat sujud kepada Adam (manusia), kerana ingin menyaksikan lawak-lawak yang makin nyata sekarang ini. Tiba-tiba aku teringin melihat bagaimana malaikat tertawa! Tapi aku tetap saja yakin setiap kita pembawa lentera, tiada benteng primordial apapun. Kan pasti cinta Tuhan itu dua hala iaitu habluminnallah dan habluminannas. Tidak diteriak hablumelayu atau apapun.

>
Tapi, adakah hanya Islam caranya menunjukkan cinta kepada Tuhan? Adakah cinta (baca: kebaikan) sesama manusia yang ditunjukkan oleh seorang yang digelar kafir terhadap umat manusia tidak bernilai di sisi Allah? Oleh itu, elok jika ‘Islam’ itu dicernai itu. Agar tidak wujud sebarang selisih yang tidak dikehendaki malah harus dijauhi.
Ya, agama yang benar dalam pandangan Tuhan ialah Islam (baca: menyerahkan diri kepada-NYA ) (Nasution, 1974). Walaupun ‘Islam’ dalam bahasa Arab beerti menundukkan diri (Muttahari), tetapi secara linguistic, ‘Islam’ bermakna satu jenis penyerahan tertentu (Khaled Abou el-Fadl, 2006). Ketundukan (membawa konotasi negatif) kepada Tuhan menggambarkan hubungan renggang dengan maujud dan berorientasikan kepentingan dan hasrat.

>
Lalu, penyerahan (Islam) yang dimaksudkan adalah mampu sebarkan semula nilai kebertuhanan yang dibebankan atas kita dan membuat Tuhan layak atas syukr kita. Maka, siapapun adalah Islam selama nilai kebaikan itu dibumikan. Mencintai Tuhan atas apa yang Tuhan cintai. Malah, Tuhan juga akan menjawab cinta kita jika taslim itu didasarkan pada nilai sayang, cinta, syukr dan seumpamanya. Apa yang kita dapati daripada apa yang dikatakan sebagai cinta ini? Yang pastinya bukan konflik. Kenapa? Kerana cinta itu cantik dan indah. Kecantikan adalah bukan sifat tertentu dari 100 atau 1000 barang, tetapi di sebalik itu semua terdapat kecantikan itu sendiri, (the beauty itself). Socrates berkata bahawa “sesuatu yang indah” ialah “sesuatu yang menyenangkan”. Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika konflik itu sesuatu yang menyenangkan kerana konflik hanya akan melahirkan keresahan yang tidak berkesudahan. Dalam dialog Symposiumnya Plato menyatakan bahawa keindahan dapat dicapai melalui cinta. Cinta adalah ilham tidak terbatas yang membawa kita kepada bintang-bintang di langit yang tinggi. Cinta dalam gambaran demikian ialah keindahan yang ideal. Untuk mencapai ini tidaklah mudah, harus melalui peringkat demi peringkat . Dengan ini, Islam harusnya telah selesaikan segala bentuk permusuhan antara agama, sejak turunnya wahyu pertama. Tetapi…

(Diskopi)