Mari Kita Bersama Memahami Apa Dia Sistem Dua Parti

WALAU PUN TULISAN ARAB – IANYA MASIH MILIK MUSUH UMAT MANUSIA

PEPSI DAN COKE – ADIDAS DAN PUMA

Pada tahun 2009 ini wacana politik dalam negara kita cuba menyebarkan berita tentang kemungkinan terwujudnya sistem dua parti – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Malah huh hah huh hah tentang sistem dua parti ini telah tersebar lama. Ada yang menyeringai gembira seperti di malam pertama bedua-duaan di bilik bersama kekasih bila mendengar kemungkinan ini.

Sistem dua parti ini adalah satu penipuan. Satu illusi yang dirancang oleh kaum pemodal. Satu pemesongan projek demokrasi yang amat terancang untuk mengkaburi mata orang ramai agar gagal melihat intipati politik dan makna hakiki demokrasi.

Lalu saya bertanya adakah sesiapa yang dapat membezakan Pepsi dengan Coke? Adakah sesiapa yang dapat membezakan Adidas dengan Puma? Hakikatnya – pemilik saham Pepsi adalah juga pemilik saham Coke. Hakikatnya – Puma dan Adidas adalah dua beradik yang membuka peniagaan yang sama – satu kedai di kiri jalan dan sebuah lagi di kanan jalan. Kedua-duanya mengamalkan sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan. Yang membezakan hanya ejaan nama yang bermula dengan A dan P.

Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat. Apa yang mereka pertahankan bukan saekar kebun getah atau sebuah Kancil. Yang mereka pertahankan ialah sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembongkan saku dan dompet mereka. Sistem ini telah menjadikan mereka senang lenang dan kaya raya dengan harta berbilion-bilion dolar dan ringgit.

Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia dalam dunia hari ini sebenarnya adalah kuasa kaum pemodal. Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik and parti apa yang turun. Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan. Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di parlimen untuk mengubal undang-udang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi.

Perhatikan bagaimana undang-undang yang diluluskan di parlimen TIDAK akan dan TIDAK pernah menyebelahi kepada kepentingan kaum buruh atau kaum pekerja. Perhatikan cukai mukai yang di kenakan. Pemotongan cukai untuk kaum pemodal akan diutamakan. Dalam masa yang sama mereka yang miskin akan berselirat dengan cukai mukai. Kalau tidak percaya sila tunggu cukai baru : Cukai Barang dan Khidmat. Akan terlondeh seluar dalam Mak Minah dan akan tergadai Cupcai Pak Ali bila cukai ini sampai.

Jika masih belum yakin biar saya nyatakan satu lagi contoh terbaik : lihat apa yang terjadi kepada dasar kerajaan Pakatan Selangor yang melarang bangunan didirikan di lereng bukit. Ini cita-cita Pakatan Rakyat ketika berkempen untuk membawa kebaikan dan keselamatan kepada warga. Lihat apa yang berlaku dibelakang tabir. Kaum pemodal – pemaju dan para kontrektor telah melobi. Akhirnya larangan ini ditarik kembali. Kenduri menarah bukit diteruskan kembali.

Lihat pula apa yang terjadi apabila berlaku runtuhan di Bukit Antarabangsa. Laporan yang ingin diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal kerana laporan ini disimpai oleh Akta Rahsia. Akta seperti ini semuanya diwujudkan untuk memastikan kaum pemodal – syarikat pemaju , kontrektor dan syarikat air – terselamat dan keuntungan mereka terjamin. Yang mati terkambus telah selamat ditalkinkan – jangan buat bising biarkan badan mereka dimakan cacing.

Ini bukan tohmah, propaganda atau berita putar yang saya ajukan kerana saya muflis dan tidak memiliki harta kekayaan. Ini adalah hakikat dihadapan mata kita. Buka mata dan dengar. Buka telinga dan lihat. Klik komputer dan baca. Jangan menjadi Mat Malas. Ketuk kepala lutut dan goncangkan kepala untuk berfikir. Nilai dan fahami mana yang tohmah, mana yang putar alam dan apa dia kebenaran

Kaum pemodal dan para kapitalis bergerak dengan licik. Ketika ini kaum pemodal di Malaysia melihat dan membaca tanda-tanda politik yang sedang berlaku dalam negara ini. Mereka menyedari bahawa gaya dan politik lama yang selama ini membawa keuntungan yang amat lumayan tidak mungkin akan berterusan. Apa yang terjadi pada 8 March 2008 mengajar mereka untuk memahami bahawa warga dalam negara ini mahukan perubahan dan sedang menuntut hak demokratik mereka.

Dengan arif dan dengan wang ringgit – kaum pemodal merancang untuk melahirkan apa yang dipanggil sistem dua parti. Contoh sistem dua parti ini sedang kita lihat berjalan dengan lancar di United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Di UK ada Parti Konservatif dan Parti Buruh. Di Amerika ada Parti Republican dan Parti Democrat.

Parti-parti ini bertukar ganti untuk menjalankan pentabiran. Madame Thatcher dari Parti Konservatif akhirnya diganti oleh Tony Blair dari Parti Buruh. George Bush Senior dari Republican di ganti oleh Bill Clinton dari Democrat. Kemudian Clinton di ganti oleh George Bush Junior yang kemudiannya digantikan pula oleh Barack Obama dari Parti Democrat.

Parti politik dan susuk yang memimpin pentabiran kelihatan ini bertukar berganti. Tetapi hakikatnya sistem ekonomi kapitalis tidak berubah. Inilah dia silap mata Pepsi Cola dan Coca Cola yang selama ini telah berjaya menipu. Kapitalisma tidak berganjak. Kaum pemodal tidak hilang keuntungan walau parti mana pun yang naik atau turun.

Justeru, perubahan antara Democrat ke Republican atau dari Konservatif ke Parti Buruh hanyalah satu ilusi untuk menipu orang ramai. Tidak ada apa-apa perubahan yang hakiki telah berlaku. Tuan punya bank masih kaya raya. Tuan punya kilang masih memerah tenaga buruh murah. Para kontrektor masih membalon orang ramai. Cukai masih di tahap yang sama. Kaum pemodal terus melipatkan gandakan keuntungan.

Orang ramai dan para pengundi digula-gulakan dengan perubahan dari parti ini ke parti itu. Dari presiden yang ini ke presiden yang itu. Ini adalah helah kaum pemodal agar orang ramai tidak akan menuntut perubahan sistem yang sedia ada.

Didalam kempen-kempen pilihan raya kita akan mendengar labon dan heboh heboh dari Mat Heboh yang ingin menjadi YB. Teliti dengan rapi : mereka semuanya berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik dari yang sedia ada.

Apa sebenranya janji-janji para Mat Heboh bakal YB ini? Mereka berjanji akan menjalankan pentabiran dengan lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih. Ini ertinya mereka berjanji akan menjadi Mat Heboh yang lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih kepada kaum pemodal. Merekalah Mat Heboh yang terbaik untuk mengendalikan sistem ekonomi kapitalis ini.

Tidak pernah kita mendengar bahawa yang haprak dan yang membawa kemudaratan terhadap umat manusia hari ini ialah sistem ekonomi kapitalis yang mengajukan rukun iman : keuntungan maksima.

Rukun iman inilah yang sedang membawa porak peranda kepada kita semua hari ini. Keuntungan maksima yang dijadikan rukun iman ini akan membolehkan apa sahaja dilakukan asalkan ianya membawa untung. Balak dikeluarkan kerana ianya membawa untung. Pelacur datang dari China kerana ianya membawa untung. Hospital diswastakan kerana ianya membawa untung. Dadah diniagakan kerana ianya membawa untung.

Jika kita menyedari hakikat ini maka kita tahu bahawa sistem dua parti ini adalah kong kalikong. Tidak ada apa apa perubahan hakiki yang akan berlaku jika yang diajukan untuk dipilih hanyalah siapa yang lebih cekap mentabir sistem kapitalis.

Adakah Barisan Nasional lebih baik untuk keuntungan kapitalis atau Pakatan Rakyat yang akan mentabir dengan baik sistem kapitalis ini? Jika ini yang dipersoalkan maka saya jamin kita semua kena tipu oleh kaum pemodal dengan sistem dua parti yang sedang mereka rancangkan.

Apa yang seharusnya kita tuntut bukan sistem dua parti. Bukan siapa yang lebih cekap dan lebih amanah mentabirkan sistem kapitalis. Yang wajib menjadi rukun iman kita ialah menghancurkan sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksima. Yang menjadi rukun iman kita ialah kita berjuang untuk melahirkan sistem ekonomi yang berasaskan kebajikan untuk umat manusia.

Sistem dua parti atau dua ratus buah parti ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki jika kita masih lagi dalam sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maksima. Apa yang wajib kita sokong bukan mereka yang berijazah, berdatuk, bertun atau berserban – ini tidak penting. Yang penting ialah mereka yang kita pilih akan berani bangun berjuang untuk melahirkan satu sistem ekonomi yang berimankan kebajikan untuk manusia.

Kita jangan ditipu untuk diberi pilihan sama ada untuk membeli kasut Adidas atau kasut Puma. Kita mahukan kasut kulit yang baru. Kita jangan ditipu untuk memilih Coke Cola atau Pepsi Cola. Kita tidak mahu minuman itu. Kita mahu air advocado yang sehat untuk umat manusia.(TT)

nota: tulisan ini boleh diambil untuk membuat kebaikan

Mengenal Kapitalisma

KEDAULATAN DAN GLOBALISASI

Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-Raja. Semua ini adalah ciput. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan hari ini. Semua Tan Seri, Tan Tun, Mak Datin , Pak Haji, Ayatollah, Padri, Sami, Rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi ciput dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini.

Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya? Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya dimana umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalah bertransit di atas muka bumi ini.

Mesti borong! mesti borong! Mesti kena sapu semua nih.

Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke 21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai ‘biji-biji saga’ dan barangan kodi untuk mainan. Manusia moden telah menjadi seperti Toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini adalah untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan.

Sistem kapitalis telah membawa satu budaya dimana ianya mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis – keuntungan maksima – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.

Justeru apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepong di Tanah Besar China telah membubuh malamin dalam tepong untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China sanak saudara mereka sendiri.

Justeru apakah kita hairan apabila kita membaca berita di Sepanyol dan Portugal ada pembekal minyak zaiton telah membubuh minyak hitam yang sudah terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton.

Justeru apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontrektor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal dan hospital dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh rantah.

Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisma. Keuntungan maksima adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini tuhan baru ini telah muncul dimerata pelusuk dunia. Tuhan ini akan berada dimana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis termasuk di Malaysia.

Tiga puluh tahun dahulu – air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, talipon, radio, tv – semua ini adalah milik kita bersama. Semua ini adalah hak milik negara bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini diswastakan.

Siapa sebenarnya yang menelorkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini. Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabal-kabal Illuminati. Para pemikir dari pelbagai ‘think tank’ ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan IMF sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswataan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antrabangsa.

Di belakang dasar penswastaan ini ialah para banker dari kabal Illuminati. Para banker yang telah mengumpulkan berbilion kertas dolar memerlukan pasarana pelaboran baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru. Di Eropah Barat pasaran telah tepu. Maka kabal Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa dibuka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga. Hasilnya kita melihat harta negara kita –air, talipon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank – semuanya bertukar tangan.

Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Russia dan Eropah Timur. Negara-negara ini sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan di serang. Russia telah dipecah-pecahkan. Perang telah dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen – semua ini adalah perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah Timur di jual kepada kaum pemodal antarabangsa.

Sesudah dasar penswastaan di terima pakai – kita mula terdengar apa yang dikatakan – Dunia Tanpa Sempadan. Dunia tanpa sempadan ini ialah agenda Illiminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah. Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja.

Tanpa sempadan hanyalah untuk duit modal masuk ke mana sahaja untuk mencari untung. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksima dimana sahaja dalam dunia ini. Dunia tanpa sempadan ialah untuk para pelaboran antarbangsa bermain ‘tikam dan berjudi’ di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga. Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada tahun 1997 dahulu. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menerbus masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, talipon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.

Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Court Mamoth, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDogal, Shell, Esso – semua ini adalah milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke atas pasaran kita melalui perjanjian World Trade Organisation (WTO). WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung.

Perjanjian WTO ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah – sama seperti perjanjian-perjanjian East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada tahun 1819 dahulu. Sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada tahun 1786. Sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

Dari zaman penjajah dahulu cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba adalah manifesto New World Order. Kabal-kabal Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strateji telah di rancang. Semua telah di susun. Para banker di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka katakan – New World Order atau Dunia Bentuk Baru.

Lihatlah nanti bagaimana kabal-kabal Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menanda tangani Free Trade Agreement. Dalam perjanjian ini tidak ada yang ‘free’. FTA ini akan memaska kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabanga mencari keuntungan maksima.

New World Order ini adalah dunia baru dimana kedaulatan negara tidak wujud lagi. Rancangan NWO ini sedang diatur – Canada, Amerika dan Mexico telah disatukan – kemudian seluruh Selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu – ini akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepali oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.

Lihat sekarang telah wujud Asean dan Apec untuk Asia , African Union untuk Afrika dan Union of South American Nations untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka.

Dalam masa yang tidak lama lagi manusia akan di cap dengan microchip. Tak percaya? Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Microchip ini untuk bayi yang baru lahir – atas alasan untuk mengekori penjahat.

Tetapi hakikatnya microchip ini ialah untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5 – bercuti Sabtu Ahad. Jika sopan dan tekun mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, ipod, Kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis ‘biji-biji saga’ yang dijanjikan. Sila baca 1984 oleh George Orwell dan tonton filem Metropolis oleh Fritz Lang.

Ini bukan satu dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Ini adalah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting. Jika kita gagal untuk memahami garis dan strateji Illuminati maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi. (TT)

( Tulisan ini boleh diambil untuk kegunaan membuat kebaikan )