Benarkah UMNO Pejuang Merdeka?

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ini telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Parti ini adalah parti yang mula-mula sekali menjadikan “MERDEKA” sebagai slogannya, dan menjadikan warna merah dan putih sebagai bendera untuk parti PKMM.

Dengan selogan “MERDEKA”, PKMM telah berjaya menghimpunkan seluruh rakyat Tanah Melayu tanpa mengira agama dan fahaman ideologi. Namun ia tidak mendapat sokongan di kalangan bangsawan Melayu dan juga kakitangan kerajaan (pro penjajah).

Pimpinan tertinggi PKMM pada awalnya dipimpin oleh Mokhtarudin Laso seorang yang amat keras di dalam perjuangannya, namun beliau menghilangkan diri dan dikatakan bahawa beliau telah ke Sumatera Barat. Untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Mokhtarudin Laso, satu mesyuarat telah diadakan di ‘Rumah Merdeka‘ di Kampung Bahru untuk menstrukturkan semula PKMM. 

Struktur organiasasi PKKM yang baru adalah:

Yang Dipertua Agung : Dr Burhanuddin Al-Helmy

Naib Yang Dipertua Agung : Ishak Haji Mohamad (Pak Sako)

Setiusaha Agung : Zulkifli Aoni

Ahli Jawatankuasa :
1. Abdullah CD (Cik Dat Abdullah)
2. Ahmad Boestamam
3. Musa Ahmad
4. Khatijah Ali
5. Abu Bakar Al Baqir

Aishah Ghani telah mengantikan tempat Khatijah Ali apabila PKMM berpindah ke Kuala Lumpur. ‘Mak Inang‘ nama timangan yang digunakan oleh Aishah Ghani untuk penulisan akhbar rasmi PKMM yang bernama ‘Pelita Malaya‘. Aishah Ghani telah meletakkan jawatan setelah beliau menjawat jawatan di dalam kerajaan British. Tempat beliau kemudiannya diisi oleh Shamsiah Fakih dan Zainab Mahmud Baginda.

PKMM telah berkembang pesat dan digabungkan dengan pelbagai pertubuhan yang menjadi tulang belakang dan penggerak di seluruh Malaya, antaranya:

1. API (Angkatan Pemuda Insaf). Dibawah pimpinan Ahmad Boestamam. Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP UMNO Dato Onn Jaafar.

2. AWAS (Angkata Wanita Sedar). Diketuai oleh Samsiah Fakeh. Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP UMNO, Onn Jaafar.

3. BTM -Barisan Tani Malaya (BATAS). Ditubuhkan pada 7 Julai 1947 di Kajang. Ketuanya ialah Musa Ahmad. Setiausaha disandang oleh Abas manakala Mokhtar sebagai bendahari dan Kadir menjadi ketua bahagian propaganda. Pimpinan Negeri ialah Mokhtar – Kedah, Selangor – Musa Ahmad, Pahang – Abas, Johar – Kadir dan Negeri Sembilan – Ibrahim Baba.

4. Jabatan Kerja Melayu (JKM). Didirikan pada awal tahun 1946. Diketuai oleh Alimin, Setiausaha oleh Abdullah CD dan merangkap ketua bahagian selatan. Bahagian utara oleh Rashid Maidin dan bahagian timur oleh Kamaruzaman Teh.

5. Hizbul Muslimin. Ditubuhkan pada 17 Mac 1948. Tokoh yang terlibat ialah Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ustaz Abdul Rab, Dr Burhanuddin Al Helmy dan Kiayai Masyur Azahari. Pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar mengharamkan Hizbul Muslimin yang dianggap ‘Parti Islam Merah’ dan merupakan ‘bahaya dari gunung’ kepada mereka.

6. GERAM -Gerakan Angkatan Muda. Pimpinan Abd Aziz Ishak dan A Samad Ismail.

7. Kesatuan Buruh Melayu SeMalaya. Ditubuh pada tahun 1946 di bawah pimpinan Abdullah CD. Dipanjangkan penubuhan ke negeri-negeri pada 1947.

8. Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU). Gerakan buruh berbagai kaum. Pada 1947, kongres telah memilih Ganapathy sebagai Pesiden, Abdullah CD sebagai Naib Presiden dan Chen Lu sebagai Setiausaha.

8. Kesatuan Opera Melayu.

9. Persatuan Pemandu Teksi.

10. PETA -Pembela Tanah Air. Ditubuhkan apabila KMM diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar.

11. Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA). Pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Pada tahun 1947, iaitu sepuluh tahun sebelum merdeka, PKMM memperkuatkan perjuangan menuntut kemerdekaan dengan bergabung dengan beberapa pertubuhan bukan Islam dan bukan Melayu dalam Malaya Democratic Union, membentuk Barisan Bersatu Putera-AMCJA.

Barisan Bersatu Putera-AMCJA ditubuh pada 1947 dan menggubal 10 fasal Perlembagaan Rakyat untuk kemerdekaan.

Antara gerakan yang dilakukan oleh Barisan Bersatu Putera-AMCJA yang sangat berjaya dan menggugat kedudukan British adalah mogok seluruh Malaya yang dikenali sebagai HARTAL. (video http://www.youtube.com/watch?v=sNZzZlVgWxY&feature=PlayList&p=F0B6BA1785FFE49E&index=0&playnext=1)

HARTAL telah berlangsung pada 16 September, 1947 yang telah mencatatkan sejarah satu mogok umum, di mana pada hari tersebut, satu aktiviti pun tidak dilakukan oleh seluruh rakyat Malaya.

Pada masa yang sama, British telah berpakat dengan Elit Melayu yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Perkembar – yang kini dikenali sebagai UMNO), menggubal satu lagi perlembagaan yang dipanggil Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

British tidak menerima desakan Barisan Bersatu Putera AMCJA, dan telah menolak Perlembagaan Rakyat dan menggantikan Malayan Union dengan membentuk Persekutuan Tanah Melayu serta melantik Dato’ Onn menerajuinya.

Barisan Bersatu Putera AMCJA dan seluruh anggota gabungannya, diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan Yang Dipertua (YDP) UMNO, Dato’ Onn Jaafar.

British telah mengisytiharkan Darurat pada tahun 1948, dengan alasan menentang gerakan komunis di Malaya dengan menggunakan ‘preventive detention‘ iaitu tahanan tanpa perbicaraan yang kemudian dikuatkuasakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengambil tindakan menangkap sesiapa sahaja yang menentang.

Antara bukti bahawa Darurat 1948 diisytiharkan adalah semata-mata satu tindakan ’pecah perintah’ British adalah lebih 2,800 orang ahli-ahli gabungan Barisan Bersatu Putera ACMJA ditangkap dibawah ISA, termasuk Ustaz Abu Bakar Al-Baqir pemimpin MATA dan Hizbul Muslimin yang kemudiannya didaftarkan secara rasminya sebagai Parti Islam SeMalaysia (PAS)

(CHEGUBARD)

Umno Palsukan Fakta dan Nafikan Ibrahim Yaakob

Oleh Tarmizi Mohd Jam

NAMPAKNYA kerajaan begitu giat berkempen bagi menjayakan sambutan ‘50 Tahun Kemerdekaan Negara’ tahun lalu. Kini kempen itu kian suram. Tiada gerakkan yang menyanggah atau membetulkan fakta palsu yang disogokkan kononnya Tunku dan Umnolah yang menggerakkan usaha kemerdekaan. Bagaimanakah laungan ‘Merdeka’ oleh Ibrahim Yaakob? Dan apa kaitannya dengan gerakkan merdeka yang diperjuangkan oleh PKMM, KMM, API danAWAS sebelum diharamkan penjajah? Ikuti pandangan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan, CIKGU ISHAK SURIN yang juga antara aktivis yang terlibat diperingkat awal gerakan kemerdekaan, ketika aktif bersama API bersama Pengarang Berita, TARMIZI MOHD JAM.

Harakah: Saban tahun, menjelang Ogos nampaknya kerajaan giat berkempen melalui media cetak dan televisyen sambutan hari kemerdekaan. Tujuannya untuk tanamkan kepercayaan bahawa Umnolah yang mempelopori kemerdekaan. Walhal faktanya palsu…

CIKGU ISHAK SURIN: Memanglah itu yang sedang berlaku. Usaha ini giat dijalankan untuk menafikan gerakkan awal kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kerajaan cuba menonjolkan Umnolah yang mempelopori kemerdekaan.

Bagi saya, usaha terancang begini amat dayus dilakukan oleh kerajaan semata-mata untuk mempengaruhi genarasi muda kini akur bahawa Umno dan pemimpin hari ini adalah kesinambungan pejuang kemerdekaan. Umno cuba menafikan fakta sejarah yang sebenar. Siapa Tunku pada waktu merdeka dulu? Siapa Umno? Macam mana Umno itu ditubuhkan?
Semuanya ini perlu dikaji semula oleh kita supaya fakta sejarah yang sebenar dapat diketahui oleh genarasi akan datang dan seterusya. Pada saya, Umno begitu takut untuk membongkar rahsia sejarah sebenar berhubung gerakan kemerdekaan ini. Pejuang-pejuang terdahulu seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Helmy dan lain-lain cuba dihapuskan dalam buku-buku dan dokumentasi sejarah.

Gerakan KMM, PKMM, API dan AWAS juga tidak disebut sebagai pelopor kemerdekaan sedangkan hakikatnya, kumpulan inilah yang mula-mula melaung dan membakar api kemerdekaan.

Harakah: Maknanya kita ada pandangan kedua dalam isu ini. Umno bukan pelopor kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman bukan Bapa Kemerdekaan. Begitu…

Cikgu Ishak Surin: Ya. Ini patut di ketengahkan. Ia bukan idea atau sanggahan membabi buta tetapi ia adalah fakta sejarah. Ia tak boleh ditipu. Sejarah tetap sejarah. Dengan adanya kempen-kempen media cetak dan televisyen ini, kita amat bimbang genarasi muda sekarang dibohongi kerajaan dan Umno khususnya. Mereka mahu fakta sejarah dipesongkan, diseleweng! Dalam hal ini, saya amat bertegas bahawa Umno bukan pelopor kemerdekaan. Umno ditubuhkan untuk menentang pembentukan Malayan Union. Tidak langsung disebut pada masa itu soal kemerdekaan.

Tunku Abdul Rahman

Sebelum itu, telah ada kumpulan tertentu yang bergerak secara tersusun, selepas sahaja tamat Perang Dunia Kedua. Umpamanya penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Diikuti penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin olehDr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji MuhamadAngkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Merekalah yang memulakan gerakan tersusun untuk menentang penjajahan Inggeris di tanahair kita. Inilah golongan yang sebenarnya patut diketahui oleh rakyat dan genarasi kini.
Bukannya seperti yag diwar-warkan, Umno atau Tunku Abdul Rahman. Sebaliknya, orang-orang ini dilupakan langsung. Akibat laungan kemerdekaan mereka dan keberanian mereka menentang penjajah, maka mereka akhirnya disumbat dalam penjara dan KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan oleh penjajah.

Harakah: Jadi, bila Umno muncul dalam catatan sejarah sebagai pejuang kemerdekaan?

Cikgu Ishak Surin: Selepas pejuang kemerdekaan tulin macam Ibrahim Yaakob, Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestaman dan lain-lain dipenjarakan. Selepas KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan. Barulah mereka muncul. Seolah-olah pemimpin-pemimpin Umno inilah yang beriya-iya mahukan kemerdekaan setelah ruang kosong yang ditinggalkan oleh KMM, PKMM, API dan AWAS. Kita kena tahu, Umno ketika itu adalah anak didik penjajah dan bukan penentang penjajah.

Harakah: Tadi disebut kumpulan awal macam KMM, PKMM, API dan AWAS adalah pejuang tulin kemerdekaan. Kemudian ditahan dan pertubuhan mereka diharamkan. Penjajah pula mengetengahkan Umno hasil kekosongan ini sebab hanya Umno yang boleh meneruskan dasar-dasar penjajah. Soalnya, mengapa penjajah menentang atau tidak bersengkongkol dengan kumpulan pejuang gerakan kemerdekaan tulin yang awal?

Cikgu Ishak Surin: Inggeris tahu, mereka yang menggerakkan KMM, PKMM, API dan AWAS terdiri dari pejuang kemerdekaan tulin yag tidak mahu bersengkongkol dengan penjajah. Mereka ini tidak dapat diperkotak-katikkan oleh Inggeris.

Jika ditakdirkan mereka ini berjaya memerdekakan tanahair kita, tentu sekali lanskap politik negara kita tidak seperti hari ini. Selepas diberikan kemerdekaan pada 1957, kita masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah, dasar-dasar penjajah diteruskan, pendidikan penjajah dijalankan, ekonomi penjajah diperkenalkan dan macam-macam lagi.

Kita diikat oleh penjajah. Dan yang sanggup menjalankan dasar-dasar penjajah ini ialah Umno. Inggeris percaya, jika kemerdekaan diberi kepada pejuang tulin macam Ibrahim Yaakob, dasar-dasar Inggeris tak dapat berjalan.

Harakah: Sekarang jelas, sejarah dipalsukan dari segi gerakan menuntut kemerdekaan. Ini kerana Umno yang diberi kemerdekaan oleh Inggeris telah menggunakan kesempatannya sebagai kerajaan untuk memalsukan sejarah dalam semua aspek. Dokumentasi, buku sejarah dan seumpamanya. Bagaimana Cikgu melihat, ‘jenayah’ ini boleh dibetulkan?

Cikgu Ishak Surin: Perkara ini harus ditangani secara serius. Lihat balik pemalsuan sejarah dan sejarah sebenar. Betulkan fakta dalam buku sejarah yang jadi rujukan sebagai teks bacaan pelajar kita di sekolah-sekolah. Ini penting.

Kerana melalui paparan dari buku-buku sejarah inilah,pemalsuan berjalan secara rasmi dan terancang. Pelajar-pelajar kita adalah genarasi akan datang yang bakal mentadbir negara.
Tetapi, fakta sejarah yang melekat dalam kepala mereka hanyalah fakta palsu. Mereka tak kenal siapa itu Ibrahim Yaakob, iaitu orang yang mula-mula melaungkan kalimah merdeka kepada rakyat untuk mengenyahkan penjajah ketika itu.

Harakah: Mengapa Cikgu kata Ibrahim Yaakob yang mempelopori kemerdekaan bukan Tunku Abdul Rahman?

Cikgu Ishak Surin: Saya setuju dengan satu kajian yang dibukukan oleh Umno Johor. Buku itu dakwa orang yang mula mempelopori gerakan kemerdekaan tanahair ialah Ibrahim Yaakob. Berpusat gerakanya di Maktab Perguruan Idris, Tanjung Malim.

Ibrahim Yaakob

Bagaimana kita lihat, dia membentuk jaringan dari sini hingga idea kemerdekaan bertaburan ke seluruh tanahair hingga ke Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ibrahim aktif menanamkan api kemerdekaan dalam kesatuan pelajar di Maktab.

Dari sini, pelajar Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak yang tamat pengajian mereka, bawa balik idea dan perjuangan kemerdekaan ini. Jadi menyeluruh. Di sinilah mula bibit kemerdekaan tercetus. Fakta ini dinafikan oleh Umno yang cuba meletakkan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Bagi saya, Ibrahim Yaakoblah patut dinobatkan Bapa Kemerdekaan sebenar bukan Tunku yang tak tahu apa-apa.

Harakah: Jika begitu realitinya, apakah terdapat usaha dari pihak PAS untuk membetulkan senario ini atau menggerakkan suatu penulisan semula sejarah kemerdekaan Malaysia?

Cikgu Ishak Surin: Kita kena betulkan fakta palsu Umno itu. Gembelingkan tenaga. Kumpulkan pejuang-pejuang yang terlibat diawal gerakan kemerdekaan tulin. Kumpulkan kajian-kajian ilmiah yang dilakukan oleh universiti-universiti.

Bagi saya, penulisan semula sejarah kemerdekaan wajib dibuat. Kita jangan asyik menyanggah soal kemerdekaan ini dalam tulisan-tulisan picisan ketika menjelang setiap kali sambutan hari kemerdekaan. Kita mesti sedarkan rakyat bahawa Umno bukan parti yang mempelopori gerakan kemerdekaan di tanahair kita. Tunku bukan Bapa Kemerdekaan.
Semuanya ini kita mesti persoalkan semula secara serius. Bukan main-main. Kita kena buat satu jawatankuasa khusus untuk tujuan ini. Saya percaya, semua tokoh-tokoh sejarah dalam negara kita akan bersama dengan kita jika usaha terancang dibuat untuk membetulkan fakta sejarah ini.

Tidak mengikut acuan sejarah yang disediakan oleh Inggeris dan dipekik-pekikkan oleh Umno. Saya yakin,fakta yang ada adalah fakta orientalis Barat yang mahu dilihat sebagai tiadanya penentangan serius dari rakyat terhadap penjajahan mereka.

Pemerintahan diberi secara aman kepada Umno bagi menunjukkan baik dan bijaknya Inggeris pada mata dunia. Saya setuju, PAS mesti mempelopori usaha ini kerana ia penting untuk genarasi akan datang. Ia tak boleh tunggu lebih lama lagi. Kalau lebih lama, maka banyaklah penyelewengan sejarah akan dilakukan oleh Umno.- (TMJ)

PS : Bukan tujuan kami untuk berpolitik melalui petikan dari Harakah ini, akan tetapi kami merasakan banyak perkara yang bersangkutan dengan sejarah Semenanjong Melaka, kemudiannya ditukar kepada Semenanjong Tanah Melayu, yang terdiri dari pelbagai rumpun dan telah di’melayu’kan oleh penjajah Inggeris perlu dilihat dan dikaji semula, bukan setakat zaman kemerdekaan sahaja malah jauh lebih awal dari itu.

(Minda Ahad)