Mari Kita Bersama Memahami Apa Dia Sistem Dua Parti

WALAU PUN TULISAN ARAB – IANYA MASIH MILIK MUSUH UMAT MANUSIA

PEPSI DAN COKE – ADIDAS DAN PUMA

Pada tahun 2009 ini wacana politik dalam negara kita cuba menyebarkan berita tentang kemungkinan terwujudnya sistem dua parti – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Malah huh hah huh hah tentang sistem dua parti ini telah tersebar lama. Ada yang menyeringai gembira seperti di malam pertama bedua-duaan di bilik bersama kekasih bila mendengar kemungkinan ini.

Sistem dua parti ini adalah satu penipuan. Satu illusi yang dirancang oleh kaum pemodal. Satu pemesongan projek demokrasi yang amat terancang untuk mengkaburi mata orang ramai agar gagal melihat intipati politik dan makna hakiki demokrasi.

Lalu saya bertanya adakah sesiapa yang dapat membezakan Pepsi dengan Coke? Adakah sesiapa yang dapat membezakan Adidas dengan Puma? Hakikatnya – pemilik saham Pepsi adalah juga pemilik saham Coke. Hakikatnya – Puma dan Adidas adalah dua beradik yang membuka peniagaan yang sama – satu kedai di kiri jalan dan sebuah lagi di kanan jalan. Kedua-duanya mengamalkan sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan. Yang membezakan hanya ejaan nama yang bermula dengan A dan P.

Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat. Apa yang mereka pertahankan bukan saekar kebun getah atau sebuah Kancil. Yang mereka pertahankan ialah sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembongkan saku dan dompet mereka. Sistem ini telah menjadikan mereka senang lenang dan kaya raya dengan harta berbilion-bilion dolar dan ringgit.

Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia dalam dunia hari ini sebenarnya adalah kuasa kaum pemodal. Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik and parti apa yang turun. Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan. Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di parlimen untuk mengubal undang-udang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi.

Perhatikan bagaimana undang-undang yang diluluskan di parlimen TIDAK akan dan TIDAK pernah menyebelahi kepada kepentingan kaum buruh atau kaum pekerja. Perhatikan cukai mukai yang di kenakan. Pemotongan cukai untuk kaum pemodal akan diutamakan. Dalam masa yang sama mereka yang miskin akan berselirat dengan cukai mukai. Kalau tidak percaya sila tunggu cukai baru : Cukai Barang dan Khidmat. Akan terlondeh seluar dalam Mak Minah dan akan tergadai Cupcai Pak Ali bila cukai ini sampai.

Jika masih belum yakin biar saya nyatakan satu lagi contoh terbaik : lihat apa yang terjadi kepada dasar kerajaan Pakatan Selangor yang melarang bangunan didirikan di lereng bukit. Ini cita-cita Pakatan Rakyat ketika berkempen untuk membawa kebaikan dan keselamatan kepada warga. Lihat apa yang berlaku dibelakang tabir. Kaum pemodal – pemaju dan para kontrektor telah melobi. Akhirnya larangan ini ditarik kembali. Kenduri menarah bukit diteruskan kembali.

Lihat pula apa yang terjadi apabila berlaku runtuhan di Bukit Antarabangsa. Laporan yang ingin diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal kerana laporan ini disimpai oleh Akta Rahsia. Akta seperti ini semuanya diwujudkan untuk memastikan kaum pemodal – syarikat pemaju , kontrektor dan syarikat air – terselamat dan keuntungan mereka terjamin. Yang mati terkambus telah selamat ditalkinkan – jangan buat bising biarkan badan mereka dimakan cacing.

Ini bukan tohmah, propaganda atau berita putar yang saya ajukan kerana saya muflis dan tidak memiliki harta kekayaan. Ini adalah hakikat dihadapan mata kita. Buka mata dan dengar. Buka telinga dan lihat. Klik komputer dan baca. Jangan menjadi Mat Malas. Ketuk kepala lutut dan goncangkan kepala untuk berfikir. Nilai dan fahami mana yang tohmah, mana yang putar alam dan apa dia kebenaran

Kaum pemodal dan para kapitalis bergerak dengan licik. Ketika ini kaum pemodal di Malaysia melihat dan membaca tanda-tanda politik yang sedang berlaku dalam negara ini. Mereka menyedari bahawa gaya dan politik lama yang selama ini membawa keuntungan yang amat lumayan tidak mungkin akan berterusan. Apa yang terjadi pada 8 March 2008 mengajar mereka untuk memahami bahawa warga dalam negara ini mahukan perubahan dan sedang menuntut hak demokratik mereka.

Dengan arif dan dengan wang ringgit – kaum pemodal merancang untuk melahirkan apa yang dipanggil sistem dua parti. Contoh sistem dua parti ini sedang kita lihat berjalan dengan lancar di United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Di UK ada Parti Konservatif dan Parti Buruh. Di Amerika ada Parti Republican dan Parti Democrat.

Parti-parti ini bertukar ganti untuk menjalankan pentabiran. Madame Thatcher dari Parti Konservatif akhirnya diganti oleh Tony Blair dari Parti Buruh. George Bush Senior dari Republican di ganti oleh Bill Clinton dari Democrat. Kemudian Clinton di ganti oleh George Bush Junior yang kemudiannya digantikan pula oleh Barack Obama dari Parti Democrat.

Parti politik dan susuk yang memimpin pentabiran kelihatan ini bertukar berganti. Tetapi hakikatnya sistem ekonomi kapitalis tidak berubah. Inilah dia silap mata Pepsi Cola dan Coca Cola yang selama ini telah berjaya menipu. Kapitalisma tidak berganjak. Kaum pemodal tidak hilang keuntungan walau parti mana pun yang naik atau turun.

Justeru, perubahan antara Democrat ke Republican atau dari Konservatif ke Parti Buruh hanyalah satu ilusi untuk menipu orang ramai. Tidak ada apa-apa perubahan yang hakiki telah berlaku. Tuan punya bank masih kaya raya. Tuan punya kilang masih memerah tenaga buruh murah. Para kontrektor masih membalon orang ramai. Cukai masih di tahap yang sama. Kaum pemodal terus melipatkan gandakan keuntungan.

Orang ramai dan para pengundi digula-gulakan dengan perubahan dari parti ini ke parti itu. Dari presiden yang ini ke presiden yang itu. Ini adalah helah kaum pemodal agar orang ramai tidak akan menuntut perubahan sistem yang sedia ada.

Didalam kempen-kempen pilihan raya kita akan mendengar labon dan heboh heboh dari Mat Heboh yang ingin menjadi YB. Teliti dengan rapi : mereka semuanya berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik dari yang sedia ada.

Apa sebenranya janji-janji para Mat Heboh bakal YB ini? Mereka berjanji akan menjalankan pentabiran dengan lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih. Ini ertinya mereka berjanji akan menjadi Mat Heboh yang lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih kepada kaum pemodal. Merekalah Mat Heboh yang terbaik untuk mengendalikan sistem ekonomi kapitalis ini.

Tidak pernah kita mendengar bahawa yang haprak dan yang membawa kemudaratan terhadap umat manusia hari ini ialah sistem ekonomi kapitalis yang mengajukan rukun iman : keuntungan maksima.

Rukun iman inilah yang sedang membawa porak peranda kepada kita semua hari ini. Keuntungan maksima yang dijadikan rukun iman ini akan membolehkan apa sahaja dilakukan asalkan ianya membawa untung. Balak dikeluarkan kerana ianya membawa untung. Pelacur datang dari China kerana ianya membawa untung. Hospital diswastakan kerana ianya membawa untung. Dadah diniagakan kerana ianya membawa untung.

Jika kita menyedari hakikat ini maka kita tahu bahawa sistem dua parti ini adalah kong kalikong. Tidak ada apa apa perubahan hakiki yang akan berlaku jika yang diajukan untuk dipilih hanyalah siapa yang lebih cekap mentabir sistem kapitalis.

Adakah Barisan Nasional lebih baik untuk keuntungan kapitalis atau Pakatan Rakyat yang akan mentabir dengan baik sistem kapitalis ini? Jika ini yang dipersoalkan maka saya jamin kita semua kena tipu oleh kaum pemodal dengan sistem dua parti yang sedang mereka rancangkan.

Apa yang seharusnya kita tuntut bukan sistem dua parti. Bukan siapa yang lebih cekap dan lebih amanah mentabirkan sistem kapitalis. Yang wajib menjadi rukun iman kita ialah menghancurkan sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksima. Yang menjadi rukun iman kita ialah kita berjuang untuk melahirkan sistem ekonomi yang berasaskan kebajikan untuk umat manusia.

Sistem dua parti atau dua ratus buah parti ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki jika kita masih lagi dalam sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maksima. Apa yang wajib kita sokong bukan mereka yang berijazah, berdatuk, bertun atau berserban – ini tidak penting. Yang penting ialah mereka yang kita pilih akan berani bangun berjuang untuk melahirkan satu sistem ekonomi yang berimankan kebajikan untuk manusia.

Kita jangan ditipu untuk diberi pilihan sama ada untuk membeli kasut Adidas atau kasut Puma. Kita mahukan kasut kulit yang baru. Kita jangan ditipu untuk memilih Coke Cola atau Pepsi Cola. Kita tidak mahu minuman itu. Kita mahu air advocado yang sehat untuk umat manusia.(TT)

nota: tulisan ini boleh diambil untuk membuat kebaikan

Dubai Oooh Du Baye Bye

MANUSIA YANG ANGKUH MELAWAN ALAM !

ISLAM KE TAK ISLAM, HUTANG TETAP HUTANG

Harga minyak jatuh dua dollar. FTSE – bursa saham di London jatuh 170 mata.

Di Peranchis dan German bursa saham jatuh sama.

Ini berlaku apabila Dubai meminta tangguh pembayaran hutang 35 bilion dolar yang seharusnya di bayar pada 30 November ini.

Di London – nilai saham hilang sebanyak 44 bilion pound.

Dubai World – taiko utama di Dubai – perlu membayar 3.5 bilion dolar Islamic Bond pada bulan Disember depan.

APA YANG SEDANG TERJADI DI DUBAI SEKARANG

Damac Properties di Dubai telah gagal membayar EPF dan tidak memberi apa-apa ganjaran kepada semua pekerja yang di buang.

– International Herald Tribune

Sekarang ini setiap hari 1500 permit kerja di batalkan.

– the Australian

Syarikat Pembinaa Nakheel telah membuang 500 pekerja, Damac membuang 200 pekerja dan Al-Shafar membuang 1000 pekerja.

– the Hurriyet

Lebih dari 80 buah kereta mahal mahal telah ditinggalkan di Dubai International Airport. Tuan empunya kereta lari mungkin kerana tidak sanggup membayar sewa beli rumah, pinjaman bank, telah dibuang kerja

– Khaleej Times

“The property bubble has burst.
Dubai’s “container economy” is in for a grind in 2010 and beyond. Owners of properties are uneasily aware that the crisis shaved off huge chunks from the value of those properties.

“Real estate companies have downsized; projects have been shelved, hundreds have lost jobs. The place is rife with rumours that Dubai is in colossal debt and is seeking an Abu Dhabi bailout,…”

– the Express Bulletin

“The financial crisis is forcing many parents who cannot afford increasingly high fees to pull their children out of schools and nurseries, teachers and parents say.”

http://www.the nation

(TT)

EKONOMI KITA – SATU PANDANGAN

Zoellick

.

Baru ini  Presiden Bank Dunia Robert Zoellick telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengangguran semakin melonjak. Krisis ekonomi yang sedang merebak ini akan membawa padah yang maha besar.

Ini suara bapak kapitalis.

Selepas itu Paul Krugman, pakar ekonomi telah berkata – mengasaskan ekonomi dengan eksport tidak akan membantu. Ini dibuktikan dengan Jepun yang telah lebih dari 10 tahun sengsara kerana produk ekspot tidak menemui pasaran.

Ini suara pembodek kapitalis.

Di Malaysia ekonomi kita yang bersandarkan eksport sedang menguncup. Zaman meleset – recession – akan sampai atau telah pun berada bersama kita. Pihak berwajib masih belum berani megakui hakikat ini.

Pihak berwajib masih lagi dalam alam ‘denial’. Mereka lupa de nile ialah sebuah sungai di Mesir.

Langkah terbijak dalam keadaan ini ialah menggariskan satu dasar ekonomi yang berasaskan pertanian dan bukan menggunakan teori Keynesian yang mengajukan kerajaan berbelanja membuat projek mega.

Pengangguran

Pengangguran

Rangsangan ekonomi seharusnya mengerakkan warga ke arah bercucuk tanam. Berbilion ringgit yang akan dikeluarkan – (entah dari mana nak di cekup – ini satu soal yang lain ) – seharusnya membantu, merangsang dan menggerak pertanian.

Makanan lebih penting dari Ipod. Makanan lebih penting dari beg Luis Vuitton. Makan lebih penting dari kereta.

Syarikat membuat kereta nasional seharusnya membuat injin yang bersangkutan dengan pertanian. Buat trektor bukan Kancil. Buat pembajak bukan Waja.

Ramai warga akan kehilangan pekerjaan. Angka terus meningkat.

Jenayah akan meningkat juga. Kes ragut, samun, rompak, pecah rumah akan meningkat. Kita tidak perlu dapat MBA dari Yale untuk mengetahui bahawa bila ekonomi merundum – jenayah akan naik.

Pertanian

Pertanian

Makanan wajib dijadikan sasaran utama. Pengeluaran makan kita wajib cukup. Tidak perlu membeli sayur dari Taiwan, Indonesia atau Thailand. Hentikan membeli ayam dari Siam. Pilihara ayam sendiri. Hentikan membeli buah buah dari Siam. Tanam sendiri. Tidak perlu membeli beras dari Siam. Tanam sendiri.

Buruh impot yang ada hari ini wajib di hantarkan pulang ke negara mereka. Ekonomi kita tidak seharusnya bergantung dengan buruh impot yang murah. Buruh impot murah tidak menjana pembangunan fikrah penyelidikan dan teknoloji.

Buruh impot ini bekerja di kilang membuat produk eksport. Pasaran eksport telah padam. Ini hakikat. Amerika Syarikat rakan niaga kita yang utama tidak lagi mengimpot produk-produk. WalMart sedang dipenuhi oleh barangan dari China. Bilik simpanan WalMart telah melimpah ruah. Beratus-ratus kilang di China bungkus kerana produk tidak ada pasaran.

Satu dasar pertanian baru wajib difikirkan bukan sahaja oleh pemerintah tetapi oleh semua warga negara.

Kurangkan berpolitik dan banyakkan bertani.(TT)