SISTEM EKONOMI LAH… BANGANG !

BUKAN ORANG TAPI SISTEM

A, B DAN C EKONOMI KITA

Harga gula dan harga bahan bakar minyak baru sahaja naik. Harga leterik akan naik tidak lama lagi. Malah seribu satu macam harga barang barang keperluan yang lain telah, akan dan sedang naik harga. Apa sahaja barangan konsumer yang bersangkutan dengan gula dan bahan bakar minyak petrolium pasti akan naik.

Orang ramai pasti ingin tahu apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Kenapa harga barang keperluan naik. Kenapa dahulu harga murah dan sekarang naik. Apa yang menyebabkan barang naik. Kenapa ianya naik pada ketika ini.

Untuk memahami semua persoalan ini kita wajib memahami sistem ekonomi kapitalis. Malaysia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Dalam dunia ini ada dua sistem ekonomi. Satu sistem ekonomi kapitalis dan satu lagi sistem ekonomi sosialis.

Sistem ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Apa sahaja projek, dasar pembangunan atau kaji selidik yang dilakukan semuanya berkiblatkan keuntungan maksima. Kapitalisma tidak ada agama dan tidak ada bangsa. Di Saudi Arabia kapitalisma beragama Islam. Di Itali kapitalisma beragama Katholik. Di India kapitalsima beragama Hindu. Di China kapitalisma tidak beragama. Yang penting untuk kapitalisma ialah untung bukan agama atau bangsa.

Sistem sosialis berpaksikan kebajikan ramai. Keuntungan bukan jurupandu sosialisma. Pembangunan dibuat bukan untuk kroni atau untuk mencari untung tetapi untuk kebajikan umum. Dalam sistem ekonomi sosialis semua punca punca pengeluaran dan bahan keperluan asas untuk warga seperti air, udara, hospital, makanan, pengangkutan, leterik atau jalan raya dimiliki oleh kerajaan. Keuntungan tidak dijadikan juru ukur atau tangga kejayaan. Kesejahteraan awam diutamakan.

Sistem ekonomi kapitalis ini telah dipaksakan ke atas Malaysia. Pada satu ketika dahulu air, api, hospital , jalan raya, sistem penerbangan awam – semuanya milik rakyat. Hari ini satu demi satu harta orang ramai ini telah dijual kepada kaum pemodal yang kaya dan berduit. Penjualaan harta orang ramai kepada milik persendirian ini dinamakan penswastaan.

Dasar penswastaan ini adalah satu strateji kaum pemodal untuk menaklok dan menguasai punca punca ekonomi yang dimiliki oleh orang ramai. Cara mengambil alih harta orang ramai ini bukan satu pekara yang susah untuk dilakukan.

Kaum pemodal dan kaum kapitalis telah memberikan dana dan sokongan kepada ahli ahli politik. Kaum pemodal dan para kapitalis telah menaja ahli-ahli politik yang akan menyokong dasar penswastaan. Apabila parti dan ahli-ahli politik ini menang pilihanraya maka kerajaan baru ini terus memperkenalkan dasar penswastaan. Inilah caranya dasar penswastaan diperkenalkan di United Kingdom oleh Parti Konservatif Margaret Thatcher satelah mengalahkan Parti Buruh.

Di Malaysia agak berbeza – penswastaan diperkenal melalui Dasar Ekonomi Baru. Dasar Ekonomi Baru ini cuba melahirkan kaum kapitalis Melayu. Justeru banyak syarikat kerajaan – harta orang ramai – telah difaraidkan. Pada dasarnya difaraidkan kepada orang Melayu dan bumiputera. Tetapi akhirnya semuanya diambil alih oleh para cukong yang memiliki modal yang lebih ampuh.

Hari ini api leterik, gula, beras, minyak makan, tepong, jalan raya, universiti, hospital – yang pada satu ketika dahulu dikawal atau dimiliki oleh syarikat milik kerajaan kini telah sekali lagi diambil alih oleh kaum pemodal. Kalau dahulu perkhidmatan menjadi tulang belakang dan iman syarikat dan lembaga ini. Dengan penswastaan rukun iman kaum pemodal ialah keuntungan maksima. Khidmat yang diberikan wajib mendapat pulangan yang menguntungkan.

Justeru kerana itu satu demi satu barang-barang keperluan kita dinaikan harganya. Tuan empunya syarikat, tuan empunya kilang dan para pengedar tidak pernah mahu keuntungan mereka turun. Dalam masa yang sama kerajaan tidak lagi dapat berbuat apa apa kerana syarikat ini bukan lagi milik orang ramai. Untuk memedihkan cerita – para menteri dan kaum keluarga mereka juga memiliki saham dan kepentingan dalam syarikat ini.

Mereka yang membuat dasar penswastaan memiliki kepentingan dalam syarikat yang diswastakan. Malah perjanjian antara kerajaan yang menjualkan harta orang ramai ini masih menjadi rahsia. Apa yang kita diberitahu ialah syarikat syarikat ini berhak – kerana perjanjian – untuk menikkan harga mungkin setiap tahun atau mungkin setiap dua tahun. Kita tidak tahu kerana perjanjian ini masih satu rahsia dibawah Akta Rahsia Kerajaan.

Sistem ekonomi kapitalis negara kita ini juga berkait rapat dengan ekonomi kapitalis sedunia. Turun naik harga barangan di negara luar akan juga mempengaruhi harga barangan dalam negara kita. Ini kerana sistem ekonomi kita telah diikat. Cara kita diikat ialah melalui nilai ringgit yang diukur mengikut nilai dolar. Kita juga – malah seluruh dunia – dipaksa menggunakan dolar Amerika dalam hal jual beli minyak dan ekspot impot.

Pada ketika ini Amerika sedang berperang dengan rakyat Iraq, Afghanistan, Pakistan dan tidak lama lagi dengan rakyat Iran. Perang telah membawa musibah yang maha sangat ke atas ekonomi Amerika. Pada hari ini ekonomi Amerika dalam keadaan lintang pukang.

Ketika ini pengangguran ditahap paling tinggi dalam sejarah Amerika. Kilang-kilang banyak yang ditutup. Berpuluh puluh bank besar dan kecil jatuh muflis. Rumah-rumah banyak yang diambil kembali oleh bank kerana gagal membayar hutang pinjaman. Semakin ramai warga tidor dalam kereta atau merempat. Suasana zaman meleset tahun 1929 telah berulang sekali lagi di Amerika.

Kerajaan Amerika perlu mencari dana untuk menampung perbelanjaan perang. Perang di Iraq memerlukan satu bilion dolar sehari. Hakikatnya pada hari ini Amerika Syarikat telah lama jatuh bangkrap.

Justeru untuk mengapongkan Amerikan dari tenggelam, kerajaan Amerika telah meminjam duit dari Federal Reseve. Caranya cukup senang. Federal Reserve telah mencetak duit dan mengagihkan duit ini kepada kerajaan Amerika. Hutang pinjaman ini akan dibayar oleh warga Amerika. Dengan kekuatan bala tentera kuasaimperial Amerika telah memaksa negara negara kapitalis yang lain termasuk Malaysia untuk menggunakan dolar ini – dolar yang tidak memiliki apa-apa nilai. Selain dari nilai takut – takut digudam oleh bala tentera Amerika.

Perang yang berterusan ini masih tidak nampak pintu damai dan sedah memerosotkan nilai dolar. Apabila nilai dolar merosot maka barang yang kita ekspot bertambah murah. Dalam masa yang sama barang yang kita beli bertambah mahal. Minyak yang kita jual juga menjadi murah kerana kita dipaksa menjual dengan menggunakan dolar.

Semua pembekal – besi, beras, makanan, sayuran – malah apa sahaja yang kita impot dari luar – harganya akan dinaikkan untuk mengimbangi nilai dolar yang jatuh. Negara lain juga tidak mahu mata wang dan ekonomi negara mereka ditarik kebawah oleh kemorosotan nilai dolar. Laku mereka menaikkan harga barangan yang mereka ekspot. Akhirnya barang ini kita beli dengan harga yang semakin mahal.

Satu pekara yang sedang menjerut sistem kapitalis antarabangsa ialah kekurangan bahan bakar petrolium. Setiap hari bahan bakar ini semakin berkurangan. Bahan bakar ini adalah penjana tenaga yang maha penting dalam sistem kapitalis antrabangsa ini. Tanpa bahan bakar ini sistem kapitalis antrabangsa ini akan runtuh.

Apabila harga bahan bakar petrolium naik dipasaran antarabangsa maka tidak dapat tidak harga minyak dalam negara kita akan naik juga. Ini telah dan sedang kita lihat berlaku. Kenaikkan harga bahan bakar petrolium ini akan melibatkan asas ekonomi kapitalis. Tidak ada yang selamat dari bencana yang akan dibawa oleh kekurangan bekalan bahan bakar petrolium ini. Apabila bahan bakar petroilum kurang dipasaran dunia maka semua negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis akan menghadapi krisis yang maha besar.

Harus kita semua menerima hakikat bahawa bahan harga bakar petrolium ini akan terus naik dari hari ke hari. Ini kerana minyak makin berkurangan. Ini juga bermakna semua harga barangan yang kita lihat hari ini akan terus berubah menjadi lebih tinggi.

Kerajaan Najib Rosmah ketika ini telah mula menjalankan dasar untuk melupuskan subsidi. Ini adalah atas tekanan kaum pemodal tempatan dan antrabangsa. Mengikut hujah jahat kaum kapitalis harga barangan tidak perlu disubsidi kerana ini akan menempangkan pasaran. Untuk kaum kapitalis tuhan mereka ialah pasaran. Pasaran lah yang akan menentukan semua.

Kerajaan Najib Rosmah tidak ada pilihan. Najib sendiri dengan kes pembunuhan Altantuya sebagai latarbelakang tidak dapat melarikan diri dari tekanan Amerika. Dalam masa yang Najib juga memerlukan sokongan para cukong dari MCA. Para cukong kini telah mula bersuara untuk meminta kerajaan kurang memainkan peranan dalam percaturan ekonomi negara. Ini kerana para cukong dan kapitalis antarabanga mahu harta-harta rakyat yang masih dipegang oleh kerajaan dapat mereka bolot.

Yakinlah dalam masa yang terdekat lebih banyak barang akan dinaikan harga. Lebih banyak subsidi akan ditarik kembali. Rakyat Malaysia hanya ada satu pilihan mengubah kerajaan yang ada sekarang atau terus terperangkap dalam saistem ekonomi yang menindas.

(TT)

Mari Kita Bersama Memahami Apa Dia Sistem Dua Parti

WALAU PUN TULISAN ARAB – IANYA MASIH MILIK MUSUH UMAT MANUSIA

PEPSI DAN COKE – ADIDAS DAN PUMA

Pada tahun 2009 ini wacana politik dalam negara kita cuba menyebarkan berita tentang kemungkinan terwujudnya sistem dua parti – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Malah huh hah huh hah tentang sistem dua parti ini telah tersebar lama. Ada yang menyeringai gembira seperti di malam pertama bedua-duaan di bilik bersama kekasih bila mendengar kemungkinan ini.

Sistem dua parti ini adalah satu penipuan. Satu illusi yang dirancang oleh kaum pemodal. Satu pemesongan projek demokrasi yang amat terancang untuk mengkaburi mata orang ramai agar gagal melihat intipati politik dan makna hakiki demokrasi.

Lalu saya bertanya adakah sesiapa yang dapat membezakan Pepsi dengan Coke? Adakah sesiapa yang dapat membezakan Adidas dengan Puma? Hakikatnya – pemilik saham Pepsi adalah juga pemilik saham Coke. Hakikatnya – Puma dan Adidas adalah dua beradik yang membuka peniagaan yang sama – satu kedai di kiri jalan dan sebuah lagi di kanan jalan. Kedua-duanya mengamalkan sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan. Yang membezakan hanya ejaan nama yang bermula dengan A dan P.

Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat. Apa yang mereka pertahankan bukan saekar kebun getah atau sebuah Kancil. Yang mereka pertahankan ialah sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembongkan saku dan dompet mereka. Sistem ini telah menjadikan mereka senang lenang dan kaya raya dengan harta berbilion-bilion dolar dan ringgit.

Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia dalam dunia hari ini sebenarnya adalah kuasa kaum pemodal. Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik and parti apa yang turun. Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan. Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di parlimen untuk mengubal undang-udang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi.

Perhatikan bagaimana undang-undang yang diluluskan di parlimen TIDAK akan dan TIDAK pernah menyebelahi kepada kepentingan kaum buruh atau kaum pekerja. Perhatikan cukai mukai yang di kenakan. Pemotongan cukai untuk kaum pemodal akan diutamakan. Dalam masa yang sama mereka yang miskin akan berselirat dengan cukai mukai. Kalau tidak percaya sila tunggu cukai baru : Cukai Barang dan Khidmat. Akan terlondeh seluar dalam Mak Minah dan akan tergadai Cupcai Pak Ali bila cukai ini sampai.

Jika masih belum yakin biar saya nyatakan satu lagi contoh terbaik : lihat apa yang terjadi kepada dasar kerajaan Pakatan Selangor yang melarang bangunan didirikan di lereng bukit. Ini cita-cita Pakatan Rakyat ketika berkempen untuk membawa kebaikan dan keselamatan kepada warga. Lihat apa yang berlaku dibelakang tabir. Kaum pemodal – pemaju dan para kontrektor telah melobi. Akhirnya larangan ini ditarik kembali. Kenduri menarah bukit diteruskan kembali.

Lihat pula apa yang terjadi apabila berlaku runtuhan di Bukit Antarabangsa. Laporan yang ingin diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal kerana laporan ini disimpai oleh Akta Rahsia. Akta seperti ini semuanya diwujudkan untuk memastikan kaum pemodal – syarikat pemaju , kontrektor dan syarikat air – terselamat dan keuntungan mereka terjamin. Yang mati terkambus telah selamat ditalkinkan – jangan buat bising biarkan badan mereka dimakan cacing.

Ini bukan tohmah, propaganda atau berita putar yang saya ajukan kerana saya muflis dan tidak memiliki harta kekayaan. Ini adalah hakikat dihadapan mata kita. Buka mata dan dengar. Buka telinga dan lihat. Klik komputer dan baca. Jangan menjadi Mat Malas. Ketuk kepala lutut dan goncangkan kepala untuk berfikir. Nilai dan fahami mana yang tohmah, mana yang putar alam dan apa dia kebenaran

Kaum pemodal dan para kapitalis bergerak dengan licik. Ketika ini kaum pemodal di Malaysia melihat dan membaca tanda-tanda politik yang sedang berlaku dalam negara ini. Mereka menyedari bahawa gaya dan politik lama yang selama ini membawa keuntungan yang amat lumayan tidak mungkin akan berterusan. Apa yang terjadi pada 8 March 2008 mengajar mereka untuk memahami bahawa warga dalam negara ini mahukan perubahan dan sedang menuntut hak demokratik mereka.

Dengan arif dan dengan wang ringgit – kaum pemodal merancang untuk melahirkan apa yang dipanggil sistem dua parti. Contoh sistem dua parti ini sedang kita lihat berjalan dengan lancar di United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Di UK ada Parti Konservatif dan Parti Buruh. Di Amerika ada Parti Republican dan Parti Democrat.

Parti-parti ini bertukar ganti untuk menjalankan pentabiran. Madame Thatcher dari Parti Konservatif akhirnya diganti oleh Tony Blair dari Parti Buruh. George Bush Senior dari Republican di ganti oleh Bill Clinton dari Democrat. Kemudian Clinton di ganti oleh George Bush Junior yang kemudiannya digantikan pula oleh Barack Obama dari Parti Democrat.

Parti politik dan susuk yang memimpin pentabiran kelihatan ini bertukar berganti. Tetapi hakikatnya sistem ekonomi kapitalis tidak berubah. Inilah dia silap mata Pepsi Cola dan Coca Cola yang selama ini telah berjaya menipu. Kapitalisma tidak berganjak. Kaum pemodal tidak hilang keuntungan walau parti mana pun yang naik atau turun.

Justeru, perubahan antara Democrat ke Republican atau dari Konservatif ke Parti Buruh hanyalah satu ilusi untuk menipu orang ramai. Tidak ada apa-apa perubahan yang hakiki telah berlaku. Tuan punya bank masih kaya raya. Tuan punya kilang masih memerah tenaga buruh murah. Para kontrektor masih membalon orang ramai. Cukai masih di tahap yang sama. Kaum pemodal terus melipatkan gandakan keuntungan.

Orang ramai dan para pengundi digula-gulakan dengan perubahan dari parti ini ke parti itu. Dari presiden yang ini ke presiden yang itu. Ini adalah helah kaum pemodal agar orang ramai tidak akan menuntut perubahan sistem yang sedia ada.

Didalam kempen-kempen pilihan raya kita akan mendengar labon dan heboh heboh dari Mat Heboh yang ingin menjadi YB. Teliti dengan rapi : mereka semuanya berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik dari yang sedia ada.

Apa sebenranya janji-janji para Mat Heboh bakal YB ini? Mereka berjanji akan menjalankan pentabiran dengan lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih. Ini ertinya mereka berjanji akan menjadi Mat Heboh yang lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih kepada kaum pemodal. Merekalah Mat Heboh yang terbaik untuk mengendalikan sistem ekonomi kapitalis ini.

Tidak pernah kita mendengar bahawa yang haprak dan yang membawa kemudaratan terhadap umat manusia hari ini ialah sistem ekonomi kapitalis yang mengajukan rukun iman : keuntungan maksima.

Rukun iman inilah yang sedang membawa porak peranda kepada kita semua hari ini. Keuntungan maksima yang dijadikan rukun iman ini akan membolehkan apa sahaja dilakukan asalkan ianya membawa untung. Balak dikeluarkan kerana ianya membawa untung. Pelacur datang dari China kerana ianya membawa untung. Hospital diswastakan kerana ianya membawa untung. Dadah diniagakan kerana ianya membawa untung.

Jika kita menyedari hakikat ini maka kita tahu bahawa sistem dua parti ini adalah kong kalikong. Tidak ada apa apa perubahan hakiki yang akan berlaku jika yang diajukan untuk dipilih hanyalah siapa yang lebih cekap mentabir sistem kapitalis.

Adakah Barisan Nasional lebih baik untuk keuntungan kapitalis atau Pakatan Rakyat yang akan mentabir dengan baik sistem kapitalis ini? Jika ini yang dipersoalkan maka saya jamin kita semua kena tipu oleh kaum pemodal dengan sistem dua parti yang sedang mereka rancangkan.

Apa yang seharusnya kita tuntut bukan sistem dua parti. Bukan siapa yang lebih cekap dan lebih amanah mentabirkan sistem kapitalis. Yang wajib menjadi rukun iman kita ialah menghancurkan sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksima. Yang menjadi rukun iman kita ialah kita berjuang untuk melahirkan sistem ekonomi yang berasaskan kebajikan untuk umat manusia.

Sistem dua parti atau dua ratus buah parti ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki jika kita masih lagi dalam sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maksima. Apa yang wajib kita sokong bukan mereka yang berijazah, berdatuk, bertun atau berserban – ini tidak penting. Yang penting ialah mereka yang kita pilih akan berani bangun berjuang untuk melahirkan satu sistem ekonomi yang berimankan kebajikan untuk manusia.

Kita jangan ditipu untuk diberi pilihan sama ada untuk membeli kasut Adidas atau kasut Puma. Kita mahukan kasut kulit yang baru. Kita jangan ditipu untuk memilih Coke Cola atau Pepsi Cola. Kita tidak mahu minuman itu. Kita mahu air advocado yang sehat untuk umat manusia.(TT)

nota: tulisan ini boleh diambil untuk membuat kebaikan

BILA AGAKNYA MELAYU AKAN SEDAR MEREKA DITIPU

PROJEK PEMBODOHAN ORANG MELAYU

.

United Malays National Organisation berkhayal bahawa gerombolan mereka sahaja yang mewakili Orang Melayu. Ini sebenarnya satu dongeng. Kesah dongeng ini sengaja disebarkan untuk membodohkan fikrah orang Melayu.

Projek pembodohan Melayu ini adalah sebahagian dari strateji politik United Malays National Organisation. Selama lebih dari 50 tahun proses pembodohkan ini telah dilakukan. United Malays National Organisation amat amat sedar tanpa projek pembodohan ini mereka akan hilang kuasa untuk memerintah.

Kalau di zaman feudal dahulu – orang-orang Melayu dibodohkan dengan pelbagai dongeng tentang daulat raja, tentang hikmat raja, tentang kehebatan raja, tentang ilmu raja atau tentang raja yang mewakili tuhan di bumi ini. Ini semuanya dongeng. Semua ini adalah sebahagian dari projek membodohkan Melayu.

United Malays National Organisation tidak mahu orang Melayu memiliki fikrah dan berkeupayaan untuk berfikir secara bebas. Susuk yang memiliki fikrah dan berkeupayaan berfikir secara bebas pasti akan menjauhkan diri dari gerombolan ini. Manusia yang berfikir akan berkeupayaan untuk melihat tipu belit yang sedang dijalankan oleh gerombolan ini.

Projek pembodohan ini ada yang dijalankan dengan licik sehingga tidak dapat dilihat. Ada pula projek ini yang amat jelas dapat dilihat. Projek pembodohkan yang licik dan yang terang berjalan serentak untuk membonsaikan akal fikrah manusia Melayu.

Cara Pertama:

Menakut-nakutkan Melayu tentang bahaya orang asing. Orang asing yang dimaksudkan oleh gerombolan ini tidak lain dan tidak bukan ialah orang China. Orang-orang China akan dijadikan ‘hantu’ untuk terus menakut-nakutkan orang Melayu.

Akan ditimbulkan pelbagai cerita untuk membuktikan bahawa ekonomi negara ini dimiliki oleh orang China. Racun bencikan China ini telah memandulkan fikrah orang Melayu untuk melihat dengan jelas bahawa wujud persekongkolan yang maha intim antara kroni gerombolan United Malays National Organisation dengan para cukong China.

Para cukong China yang membuat harta kekayaan sebenarnya bekerjasama dengan gerombolan United Malays National Organisation. Kerjasama mereka seperti Abang dengan Adik.

Cuba kita kembali kepada kes Bank Bumiputera yang lingkup pada tahun 80’an dahulu. Nama seperti Hashim Shamsuddin dan Lorraine Osman akan muncul. Ini akan diikuti dengan nama George Tan. Siapakah Loraine Osman ini? Maloan ini tidak lain dan tidak bukan ialah bendahari gerombolan sendiri.

Ini hanyalah satu contoh dari bejuta juta contoh yang lain. Ini belum lagi diambil kira kes PKFZ, Bakun, Pewaja, Formula 1, Moonson Cup, KLCC – dimana wujud kerjasama antara gerombolan dengan ‘orang asing’ untuk menjarah negara.

Cara ke dua:

Menyebar berita dongeng bahawa sesiapa yang menentang United Malays National Organisation bererti menentang raja dan monarki. Ini bukan sahaja dongeng tetapi cerita lawak.

Orang-orang Melayu sengaja dibodohkan dan tidak diarifkan untuk memahami bahawa melawan/menentang/mengkrtitik sistem monarki ini bukan sesuatu yang pelik atau menghairankan.

Dalam sejarah negara Arab banyak raja-raja dalam telah dichampakkan ke dalam tong sampah sejarah. Raja Feisal dari Iraq, Raja Farouk dari Mesir, Raja Idris dari Libya, Raja dari Segala Raja Ahmad Reza Pahlevi dari Iran – semuanya dihumbankan. Justeru – menentang monarki bukan sesuatu yang asing dalam sejarah tamadun manusia. Malah menentang monarki adalah tindakan progresif dan maju.

Tetapi orang Melayu sengaja dibodohkan agar terus terperangkap untuk tunduk melutut tanpa berfikir. Orang Melayu tidak diberi kefahaman yang jelas bahawa : menjunjung ke bawah duli itu ertinya menjunjung tapak kaki. Orang Melayu tidak diberitahu bahawa : pacal itu ertinya anak anjing.

Patek pacal yang hina menyembah duli tuanku bermakna : saya ini anak anjing yang hina menjunjung tapak kaki kamu. Bukan kah ini kerja bodoh dan memperbodohkan diri sendiri. Kenapa orang Melayu dibodohkan sebagini. Kenapa orang Melayu mahu menjadi bodoh dan terus dibodohkan.

Cara ketiga:

Sesiapa yang menentang United Malays National Organistion di katakan menentang Islam. Ini juga adalah projek membodohkan orang Melayu. Bagaimana menentang gerombolan ini disangkut pautkan dengan agama tidak pula dilakar dengan jelas.

Islam ialah agama kepercayaan. Manakala United Malays National Organistion adalah satu gerombolan politik. Islam telah wujud 1500 tahun dahulu. Gerombolan yang beroperasi hari ini hanya wujud semenjak tahun 1988 dahulu. Manusia Melayu telah menganut Islam 500 tahun dahulu dan tidak ada sangkut paut dengan United Malauys National Organisation.

Manusia Melayu menganut Islam bukan kerana United Malays National Organisation. Mereka menganut Islam kerana satu kepercayaan agama.

Tetapi orang Melayu di Malaysia ini terus ditakut-takutkan seolah-olah gerombolan ini adalah wakil tuhan di atas bumi ini. Ini karut. Tidak ada sesiapa yang mewakili tuhan diatas bumi ini. Menentang United Malays National Organisation bukan menentang agama, bukan menentang Islam dan bukan menentang Tuhan.

Yang Maha Esa tidak pernah melantik United Malays National Organistion untuk menjadi wakil. Malah Yang Maha Esa tidak juga melantik Pope, Sami, Dalai, Ayahtollah, Padri, Rabbai – untuk menjadi wakil.

Apa yang terjadi ialah para agamawan ini adalah orang-orang yang beramal dan beribadat. Mereka mengikut selurus dan setepat mungkin ajaran-ajaran dari kitab-kitab suci. Semua mereka adalah manusia yang sama seperti Mak Cik dan Pak Cik di Felda Sungai Rokan – bezanya mereka boleh befikir dan berilmu.

Ahkirnya:

Projek pembodohan Melayu ini telah dibudayakan. Ini bererti ianya telah menjadi sebahagian dari proses budaya pemikiran Melayu. Lembaga-lembaga daulah yang wujud telah diarahkan untuk terus menjalankan projek pembodohan ini.

Kaedah pembelajaran dan media adalah dua lembaga yang digunakan untuk projek membodohkan Melayu. Media Melayu jika dibandingkan dengan media yang bukan Melayu amat ketara bezanya. Tahap laporan berita, tahap tulisan rencana, tahap soal jawab agama dalam media Melayu – semuanya memiliki nilai bodoh yang amat tinggi.

Bagitu kaedah permbelajaran dan keilmuan. Anak-anak muda Melayu terus diperbodohkan dalam sistem pembelajaran yang sedia wujud. Justeru kerana itu ibu bapa dalam masyarakat China tidak mahu anak anak mereka masuk ke sekolah aliran Melayu. Mereka tidak mahu anak anak mereka jadi bodoh. Dalam masa yang sama , makin ramai ibu bapa Melayu telah mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran China. Di sekolah aliran bukan Melayu masih ada peluang untuk anak-anak sekolah ini diajar untuk berfikir bukan diajar untuk menjadi bodoh.

Kemelut politik hari ini adalah hasil dari projek pembodohan orang Melayu. Masih ramai lagi orang Melayu yang bodoh sehingga mereka gagal untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah. Apa yang hak dan apa yang batil. Projek bodoh ini telah juga memesongkan nilai budaya orang Melayu.

Orang Melayu yang telah dibodohkan gagal melihat bahaya rasuah malah mereka dengan bangga akan mengangkat pemimpin pengamal rasuah. Orang Melayu yang telah berjaya dibodohkan gagal melihat bagaimana sistem kehakiman dan keadilan dalam negara ini boleh dijual beli. Mereka ini terus ingin menjadi bodoh.

Orang Melayu yang ingin terus menjadi bodoh ini gagal melihat pembunuh, pencolek, pengambil rasuah – bukan satu pekerjaan salah. Budaya songsang lagi bodoh ini melihat kejahatan itu baik dan suci kerana ianya dilakukan oleh manusia Melayu beragama Islam yang memiliki kad gerombolan United Malays National Organisation.(TT)