Rusuhan dan Masyarakat Kita yang Pentingkan Diri

Featured

Do they think that because We have granted them abundance of wealth and sons; 
We would hasten them on in every good? Nay, they do not understand; 
Verily those who live in awe for fear of their Lord; 
Those who believe in the Signs of their Lord; 
Those who join not (in worship) partners with their Lord; 
And those who dispense their charity with their hearts full of fear, because they will return to their Lord;- 
(Surah Al-Mu’minun, Verse 55-60)

Masyarakat pentingkan diri sendiri: Materialisma dan perasaan mementingkan diri telah menjadi kebiasaan di Britain, menurut sebuah buku baru

Masyarakat pentingkan diri sendiri: Materialisma dan perasaan mementingkan diri telah menjadi kebiasaan di Britain, menurut sebuah buku baru

“Dia memang kejam. Dia akan melangkah dan memijak seiapa pun.  Dia akan telan mereka dan ludah keluar untuk sarapannya. Itu yang membuatkan saya amat tertarik dengan dia.” – Alan Sugar mengatakan tentang calon The Apprentice (Siri Tujuh, Episod Lapan).

Ingatkah kita semasa rusuhan yang melanda seluruh Britain dulu? Adegan keganasan dan rompakan yang berlaku amat sedih sekali untuk ditonton.  Bagaimana Britain moden sampai ke tahap begini? Siapa yang bertanggungjawab? Bagaimana kita memastikan perkara begini boleh dibaik pulihkan? Perusuh penting diri sendiri, tiada disiplin dan hormat kepada orang lain, melolong David Cameron bersama rakan yang berideologi setentang dengannya. Jika ini benar, ia mestilah ada kena mengena dengan hakikat yang fahaman kolot dibenarkan berkembang dalam masa yang agak lama. Sue Gerhardt menerangkan:

” Bagi sebahagian besar tempoh sejak kebangkitan kapitalisma perindustrian di awal abad kesembilan belas, nilai murni antara seperti perpaduan dan kerjasama telah tidak diinginkan pihak berkuasa, walaupun mereka telah diawasi oleh pergerakan kesatuan pekerja dan kumpulan sosialis sehingga lewat kurun ke dua puluh. Akhirnya, bagaimanapun, nilai-nilai ini telah terhakis oleh kemakmuran yang kian meningkat dan juga usaha mengejar jaminan material mengatsi segala yang lain – sebuah projek yang merebak dari kelas pertengahan ke bawahan setelah kekayaan meningkat. Budaya baru dilahirkan iaitu ‘saya’ dengan mengorbankan ‘kami’ (Gerhardt, 2010, ‘The Selfish Society’, P.25).

Materialistik: Kanak-kanak tidak dilahirkan ingin Gucci T-shirt. Mereka dilahirkan mahu kasih sayang, perhatian, keselamatan dan sempadan

Materialistik: Kanak-kanak tidak dilahirkan ingin Gucci T-shirt. Mereka dilahirkan mahu kasih sayang, perhatian, keselamatan dan sempadan

Dakwaan bahawa ibubapa yang harus dipersalahkan nampaknya seperti munasabah, tapi Gerhardt pantas menunjukkan bahawa:

“Walaupun adalah sebahagian besarnya ibubapa itu sendiri yang menyampaikan kebanyakkan mesej-mesej ini tanpa disedari kepada anak-anak mereka, kelakuan moral kita – pentingkan diri atau tidak – bukan hanya mengenai nilai-nilai seorang ibubapa tadi. Ibubapa itu sendiri yang banyak dipengaruhi oleh hubungan sosial mereka. Tanpa menyedarinya, mereka sampaikan budaya itu yang mana mereka sendiri bergelumang didalamnya. Sama seperti kanak-kanak yang tidak dapat memilih dilahirkan dalam keluarga mana, begitu juga ibubapa tidak memilih masyarakat sekeliling mereka. Mereka bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan nilai-nilai itu, selalunya tanpa sengaja. Sekiranya semua orang di sekeliling kamu berkelakuan mementingkan diri, ia adalah sukar untuk tidak sertainya”(ibid, p.9).

Apa yang dapat kita lihat apabila melihat di sekeliling? Askar yang dihantar untuk berjuang dalam peperangan kerana minyak, ahli-ahli politik rakus menuntut perbelanjaan palsu, wartawan tidak bermoral menggodam telefon kanak-kanak yang dibunuh. Juga mustahil untuk kita mengabaikan obsesi media terhadap artis dengan pertunjukan yang suka mempamerkan kekayaan dan keistimewaan mereka.

Kita tidak dilahirkan dengan keinginan membara untuk memakai kasut sukan Nike dan jam tangan Rolex. Kita mahukannya kerana kita digalakkan untuk percaya bahawa mempunyai barangan-barangan mahal akan membuat kita gembira. Oleh itu, tidak hairanlah kedai-kedai berjenama telah dirompak oleh orang-orang yang dikecualikan daripada kepenggunaannya kerana kurangnya sumber ekonomi mereka. Belian secara berlebihan telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Barat, tetapi ia tidak membuatkan kita benar-benar gembira. Ia memberikan suatu khayalan kebahagiaan apabila nilai-nilai yang kita benar-benar idamkan, seperti sikap baik hati dan kerjasama, tidak dibenarkan untuk berkembang. Ini bertepatan dengan kaum kapitalis kerana mereka boleh terus menjarah dan mengaut keuntungan jika rakyat itu sendiri berkehendak dan membeli lebih banyak barangan-barangan.

Memang sangat mudah bagi ahli-ahli politik untuk berlagak dan tegas mengenai rusuhan. Walau bagaimanapun, jika mereka benar-benar mahu membina sebuah masyarakat yang kurang mementingkan diri sendiri, mereka mesti berhenti memenuhi kehendak permintaan kaum pemodal, golongan kaya elitis yang dambakan diri sendiri dan mula memenuhi keperluan sebenar kumpulan sosio-ekonomi yang termiskin.

Artikel asal: Orwell’s Memory Hole

Bagaimana untuk kekal selamat ketika di wilayah Selatan Thailand?

Contoh letupan!

Wilayah Selatan Thailand tidak dapat dinafikan merupakan sebuah kawasan yang mempunyai sejarah konflik bersenjata yang begitu panjang. Konflik bersenjata yang tercetus di wilayah ini mungkin antara yang terpanjang dan terlama sekali di dalam dunia. Sebelum Archduke Franz Ferdinand ditembak oleh pengganas Serb (sehingga menjadi punca Perang Dunia Pertama), sebelum bom atom ‘Fat Man’ hasil penyelidikan Iblis Manhattan Project’ menghentam Nagasaki, sebelum Presiden Bush Sr mengistiharkan ‘Operation Desert Fox’ dan jauh sebelum Keluarga Temenggung mengambil alih pemerintahan Beraja di Johor, konflik bersenjata sudah tercetus di wilayah bergolak ini. Semenjak dari saat Raja Buddha Yodfa Chulaloke meruntuhkan kerajaan Melayu Patani dan sekaligus menjadikan wilayah tersebut sebagai ‘tributary kingdom’ kepada Dinasti Chakri Bangkok bermulalah konflik bersenjata dan pemberontakan tanpa henti di Patani (Patani dengan satu ‘T’ merujuk kepada kerajaan lama, manakala Pattani ‘2 T’ merujuk kepada wilayah (province) masa kini).

Mengapa mereka (rakyat Patani) memberontak? Mengapakah mereka meneruskan penentangan bersenjata? Ini soalan-soalan yang mengasak minda (mind provocation) mereka-mereka yang cuba menyelesaikan konflik di wilayah tersebut. Perlu kita sedari bahawa, mereka memberontak kerana merasakan mereka idak terlibat sama sekali dengan ‘aturan kolonialisasi’ antara British dan Siam ketika Perjanjian Anglo-Siamese 1909, yang menyaksikan wilayah tersebut ‘diserap’ sebagai sebahagian wilayah Negara-bangsa Siam (nama lama Thailand).

Sebelum perjanjian Anglo-Siamese 1909, status negeri-negeri Melayu Patani (yang dipecahkan kepada beberapa negeri kecil seperti Legeh, Rangae, Pattani, Reman etc) adalah berbentuk ‘tributary kingdom’ yang masih mempunyai autonomi dalam melaksanakan pemerintahan negeri. Namun, apabila proses ‘annexation’ berlaku, secara automatiknya wilayah Patani menjadi sebahagian daripada Negara-bangsa Siam (secara tidak langsung perlu menerima dan tunduk kepada suatu kebudayaan yang asing berbanding dengan kebudayaan mereka). Mereka tidak rela ditadbir oleh suatu ‘entiti politik’ yang asing daripada kebudayaan dan ketamadunan mereka.

Faktor ‘internal colonialisation’ bukanlah satu-satunya alasan penentangan bersenjata, namun ia juga turut diwarnai oleh factor kemiskinan dan kemunduran wilayah tersebut berbanding wilayah lain dalam Negara Thailand.
Organisasi yang memantau konflik di wilayah bergolak tersebut, The Deep South Watch menjelaskan factor kemunduran dan kemiskinan menjadi punca utama ketidakpuasan hati rakyat berbanding factor kebudayaan. Walaupun kerajaan Thailand di bawah pentadbiran Perdana Menteri Prem Tinsulanonda 20 tahun dahulu pernah menubuhkan organisasi pentadbiran ‘Southern Border Provinces Administrative Centre’ (SBPAC) bagi melicinkan pentadbiran awam sekaligus mematahkan gerakan pemberontak dengan melambakkan dana awam yang berjumlah billion Bhat, namun kebanyakan dana yang sepatutnya disalurkan untuk kemudahan rakyat hanya berlegar dalam ‘poket’ para Jeneral tentera sahaja.
Korupsi yang dilakukan oleh pentadbir yang dilantik oleh kerajaan Bangkok menyumbang kepada kemunduran di wilayah tersebut. Berdasarkan teori konflik, salah satu punca utama kepada pertempuran, peperangan dan krisis adalah kerana ketidaksetaraan pengagihan ekonomi. Hal ini kerana ekonomi merupakan ‘sub-structure’ dalam kehidupan manusia (menurut Marxisme), maka tidak hairanlah pengagihan ekonomi yang tidak setara menyebabkan konflik bersenjata ini semakin berpanjangan. Ditambah dengan penafian ‘rights for self-determination’, konflik di wilayah tersebut terus menerus membara!

Apakah Mereka Pengganas?
Pasca tragedy 11 September 2001 dan kempen ‘War on Terror’ oleh Presiden Bush, kebanyakan Negara (yang membodek) terus menerima ‘label’ pengganas seperti yang dikelasifikasikan oleh Washington. Negara-negara di rantau Asia Tenggara juga tidak ketinggalan dalam kerja-kerja membodek kuasa besar dunia ini. Kerajaan Malaysia dan Thailand sering mengadakan perbincangan untuk mengekang ‘kumpulan pengganas’ dari terus menggangu aktiviti ekonomi dan politik kedua-dua Negara. Persoalannya, apakah kumpulan seperti PULO, BRN-C, BIPP,GMIP dan sebagainya yang mengangkat senjata di wilayah Selatan Thailand boleh kita kategorikan sebagai kumpulan pengganas? Operasi mereka tidak melangkaui sempadan Negara mereka. Pengganas merupakan kumpulan bersenjata yang tidak mempunyai ‘lokaliti’ dan hanya bermatlamatkan wang dalam operasi mereka (atau mungkin didorong oleh ideology). Kumpulan pejuang di wilayah Selatan Thailand merupakan ‘ Militant-Nationalist’ bukan kumpulan pengganas! Mereka berjuang untuk membebaskan kawasan mereka dari penindasan ‘internal colonialisation’ oleh Bangkok. Perjuangan mereka hanyalah untuk memastikan ‘survivial’ identity-bangsa mereka daripada lupus ditelan zaman, bahkan bagi memastikan keadilan dapat dicapai bagi kesemua segenap lapisan masyarakat mereka.

Contoh Bom buatan rumah (Home Made ni)..

Namun, para pejuang ‘militant-nationalist’ pada masakini merupakan ‘shapeless organisation’, tidak berstruktur dan mengambil polisi ‘no truth claim’. Bentuk perjuangan sebegini menjadikan operasi ketenteraan Thailand menjadi semkain sulit kerana seolah-olah pihak mereka sedang ‘berkonfrontasi dengan hantu‘ (Confronting the Ghost), tidak diketahui siapa yang sedang mereka hadapi. Berikutan itu, dinamika konflik di wilayah Selatan Thailand begitu berbeza dengan konflik-konflik lain diseluruh dunia.

Bagaimana Mahu Kekal Selamat dan Bernyawa?
Tujuan uatama artikel ini ditulis bukanlah bagi menjelaskan tentang konflik bersenjata di wilayah Selatan Thailand, malah bukan pula untuk memperkenalkan para pembaca dengan jenis-jenis kumpulan pemisah di wilayah tersebut. Namun, ia bertujuan untuk menyediakan ‘simple guideline’ kepada para pembaca yang mahu berkunjung ke wilayah bergolak tersebut (sama ada untuk aktiviti berfaedah atau tidak berfaedah). Namun, penulis menasihatkan agar anda melakukan aktiviti yang berfaedah dan bermoral sepanjang kunjungan ke sana. Tragedi pengeboman yang baru-baru ini berlaku di Lee Garden Hotel, Hat Yai dan di kawasan Yala membuatkan penulis terfikir untuk berkongsi tips keselamatan yang umum sepanjang pembaca berada di sana.

1) Jangan Menghampiri atau Duduk Berdekatan Anggota Keselamatan

Pada kebiasaannya kita akan berasa selamat dan dilindungi jika kita berada berhampiran dengan anggota keselamatan. Namun, di wilayah bergolak ini, dinamikanya bergitu berbeza sekali. Jauhkan diri anda daripada mana-mana anggota keselamatan sama ada Polis, tentera atau apa sahaja. Kerana pada kebiasaannya merekalah yang sering menjadi sasaran serangan (tembakan mahupun letupan bom). Jika anda menaiki kereta atau motorsikal, jauhkan kenderaan anda dari kenderaan anggota keselamatan (kekalkan jarak lebih kurang 2-3 biji kereta). Hal ini kerana, jika berlaku letupan bom atau serangan terhadap kenderaan anggota keselamatan, risiko anda untuk ‘meletup’ bersama adalah kurang, kerana jarak anda yang sedia jauh berbanding mereka yang dalam ‘radius’ yang rapat.

Perkara yang sama juga perlu anda utamakan apabila ingin minum atau makan di mana-mana kedai atau restaurant. Jika boleh, pastikan anda tidak duduk bersebelahan atau terlalu hampir dengan anggota polis atau tentera. Hal ini kerana, jika berlaku tembakan menerusi atas kenderaan yang bergerak, anda masih lagi mempunyai kesempatan untuk melindungi diri (Cuba bayangkan anda duduk di meja sebelah tentera, secara tiba-tiba grenede dilemparkan ke dalam kedai, adalah mustahil untuk anda mengelak dan lari?)

2) Jangan melepak di Lobi Hotel Mahupun Kawasan Parking
Ini merupakan perbuatan mengada-gada orang Malaysia secara umumnya. Mereka berasa megah dan nampak seperti orang kaya jika dapat duduk sambil minum kopi di lobi hotel penginapan. Ini perbuatan yang mengundang maut sebenarnya. Pada kebiasaanya, bom akan diletakkan di luar pintu hotel (dalam bentuk beg etc). Mengapa tidak diletupkan di dalam hotel? Kerana setiap hotel kebiasaanya mempunyai alat pengesan bahan logam di pintu masuk. Adalah suatu yang mustahil untuk pengebom membawa bahan letupan ke dalam hotel. Maka, setiap bahan letupan akan di ‘plant’ di luar pintu masuk hotel. Jika anda kebetulan pada hari tersebut sedang bersantai di lobi hotel, kemungkinan besar anda akan turut menerima ‘bahana’ letupan yang kebiasaanya berjarak 100-200 meter (bom buatan sendiri,bukan boleh jauh radiusnya,kecuali pakar yang buat). Oleh itu, elakkan perangai mengada-ngada lepak di lobi hotel. Jika perlu berbincang dengan rakan-rakan (perniagaan atau sebagainya) jemput mereka untuk minum di kafe hotel dan pilih meja yang bahagian dalam.

Ini minuman beralkohol..Jangan minum..Nanti Hassan Ali marah!

Satu lagi perangai mengada-ngada orang Malaysia ialah suka melepak di kawasan parking, sama ada bagi tujuan menunggu isteri yang sedang galak membeli belah atau rakan yang sedang mabuk kerana terlalu banyak meminum ‘Singha’. Elakkan dari menunggu sesiapa di kawasan parking. Jika mahu menunggu, silalah tunggu di kawasan selamat seperti kedai minum. Kerana, kawasan parking adalah kawasan yang paling berisiko tinggi untuk bom yang dipasang pada kereta dan motorsikal. Setelah penulis meneliti kenyataan mangsa letupan Hotel Lee Gardens (hotel yang popular untuk pelancong Malaysia ke Hat Yai), kebanyakan mereka melepak di lobi atau sedang berjalan-jalan berhampiran kawasan parking.

3) Elakkan Berkunjung ke Kawasan Go Go Bar

Ini gambar Perempuan Menari Tiang..

Go Go Bar merupakan kawasan pilihan utama kebanyakan pelancong Malaysia ketika berziarah ke Wilayah Selatan Thailand khususnya Hat Yai. Sebenarnya kawasan seperti inilah yang perlu kita hindari sepanjang berada di sana. Hal ini kerana, kebanyakan Militan-Nationalist sering menjadikan kawasan sebegini sebagai tapak operasi mereka. Kawasan maksiat sememangnya menjadi sasaran utama, bukan hanya kerana ia melanggari kesucian agama tetapi juga ia menjadi tempat hiburan bagi kebanyakan anggota keselamatan untuk berehat sambil melihat perempuan cantik menari meliuk lentok (hahahahaha). Maka, penulis menasihatkan para pembaca elakkan berada di kawasan sebegini jika mahu melancong ke sana. Jika sudah tidak dapat dibendung-bendung lagi kemahuan untuk berkunjung ke Go Go Bar, maka ambilah inisiatif membeli tiket kapal terbang ke Bangkok dan berhiburlah sepuasnya di sana (hahahaha), jangan melakukannya di wilayah konflik!.Hanya akan mengundang petaka!….

Penutup

Kesemua di atas merupakan nasihat dan langkah keselamatan yang mudah, namun perlu sentiasa dipatuhi sepanjang para pembaca berkunjung ke wilayah konflik tersebut. Sebenarnya penulis agak terkejut Hat Yai menjadi sasaran serangan kerana hal seperti ini jarang sekali berlaku (berbanding 3 wilayah bergolak), kecuali kumpulan pejuang mungkin sudah mensasarkan seseorang di kawasan tersebut. Konflik di wilayah ini tidak akan mampu diselesaikan selagi hal-hal seperti keadilan, kesaksamaan dan kesetaraan tidak mampu dicapai oleh pihak kerajaan Thailand. Kumpulan pemisah akan terus berevolusi dan silih berganti dan mungkin perang gerila ini akan memberikan kesan mendalam kepada Negara bangsa Thailand. Namun, penulis berharap kepada sesiapa yang mahu berkunjung ke wilayah tersebut, sentiasa memastikan disiplin anda di tahap tertinggi dan patuhi tips yang diseberikan di atas bagi memastikan anda dapat pulang ke Malaysia dalam keadaan bernyawa!..Khrop Khun Krap!.

Artikel Asal: Diskopi

SISTEM EKONOMI LAH… BANGANG !

BUKAN ORANG TAPI SISTEM

A, B DAN C EKONOMI KITA

Harga gula dan harga bahan bakar minyak baru sahaja naik. Harga leterik akan naik tidak lama lagi. Malah seribu satu macam harga barang barang keperluan yang lain telah, akan dan sedang naik harga. Apa sahaja barangan konsumer yang bersangkutan dengan gula dan bahan bakar minyak petrolium pasti akan naik.

Orang ramai pasti ingin tahu apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Kenapa harga barang keperluan naik. Kenapa dahulu harga murah dan sekarang naik. Apa yang menyebabkan barang naik. Kenapa ianya naik pada ketika ini.

Untuk memahami semua persoalan ini kita wajib memahami sistem ekonomi kapitalis. Malaysia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Dalam dunia ini ada dua sistem ekonomi. Satu sistem ekonomi kapitalis dan satu lagi sistem ekonomi sosialis.

Sistem ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Apa sahaja projek, dasar pembangunan atau kaji selidik yang dilakukan semuanya berkiblatkan keuntungan maksima. Kapitalisma tidak ada agama dan tidak ada bangsa. Di Saudi Arabia kapitalisma beragama Islam. Di Itali kapitalisma beragama Katholik. Di India kapitalsima beragama Hindu. Di China kapitalisma tidak beragama. Yang penting untuk kapitalisma ialah untung bukan agama atau bangsa.

Sistem sosialis berpaksikan kebajikan ramai. Keuntungan bukan jurupandu sosialisma. Pembangunan dibuat bukan untuk kroni atau untuk mencari untung tetapi untuk kebajikan umum. Dalam sistem ekonomi sosialis semua punca punca pengeluaran dan bahan keperluan asas untuk warga seperti air, udara, hospital, makanan, pengangkutan, leterik atau jalan raya dimiliki oleh kerajaan. Keuntungan tidak dijadikan juru ukur atau tangga kejayaan. Kesejahteraan awam diutamakan.

Sistem ekonomi kapitalis ini telah dipaksakan ke atas Malaysia. Pada satu ketika dahulu air, api, hospital , jalan raya, sistem penerbangan awam – semuanya milik rakyat. Hari ini satu demi satu harta orang ramai ini telah dijual kepada kaum pemodal yang kaya dan berduit. Penjualaan harta orang ramai kepada milik persendirian ini dinamakan penswastaan.

Dasar penswastaan ini adalah satu strateji kaum pemodal untuk menaklok dan menguasai punca punca ekonomi yang dimiliki oleh orang ramai. Cara mengambil alih harta orang ramai ini bukan satu pekara yang susah untuk dilakukan.

Kaum pemodal dan kaum kapitalis telah memberikan dana dan sokongan kepada ahli ahli politik. Kaum pemodal dan para kapitalis telah menaja ahli-ahli politik yang akan menyokong dasar penswastaan. Apabila parti dan ahli-ahli politik ini menang pilihanraya maka kerajaan baru ini terus memperkenalkan dasar penswastaan. Inilah caranya dasar penswastaan diperkenalkan di United Kingdom oleh Parti Konservatif Margaret Thatcher satelah mengalahkan Parti Buruh.

Di Malaysia agak berbeza – penswastaan diperkenal melalui Dasar Ekonomi Baru. Dasar Ekonomi Baru ini cuba melahirkan kaum kapitalis Melayu. Justeru banyak syarikat kerajaan – harta orang ramai – telah difaraidkan. Pada dasarnya difaraidkan kepada orang Melayu dan bumiputera. Tetapi akhirnya semuanya diambil alih oleh para cukong yang memiliki modal yang lebih ampuh.

Hari ini api leterik, gula, beras, minyak makan, tepong, jalan raya, universiti, hospital – yang pada satu ketika dahulu dikawal atau dimiliki oleh syarikat milik kerajaan kini telah sekali lagi diambil alih oleh kaum pemodal. Kalau dahulu perkhidmatan menjadi tulang belakang dan iman syarikat dan lembaga ini. Dengan penswastaan rukun iman kaum pemodal ialah keuntungan maksima. Khidmat yang diberikan wajib mendapat pulangan yang menguntungkan.

Justeru kerana itu satu demi satu barang-barang keperluan kita dinaikan harganya. Tuan empunya syarikat, tuan empunya kilang dan para pengedar tidak pernah mahu keuntungan mereka turun. Dalam masa yang sama kerajaan tidak lagi dapat berbuat apa apa kerana syarikat ini bukan lagi milik orang ramai. Untuk memedihkan cerita – para menteri dan kaum keluarga mereka juga memiliki saham dan kepentingan dalam syarikat ini.

Mereka yang membuat dasar penswastaan memiliki kepentingan dalam syarikat yang diswastakan. Malah perjanjian antara kerajaan yang menjualkan harta orang ramai ini masih menjadi rahsia. Apa yang kita diberitahu ialah syarikat syarikat ini berhak – kerana perjanjian – untuk menikkan harga mungkin setiap tahun atau mungkin setiap dua tahun. Kita tidak tahu kerana perjanjian ini masih satu rahsia dibawah Akta Rahsia Kerajaan.

Sistem ekonomi kapitalis negara kita ini juga berkait rapat dengan ekonomi kapitalis sedunia. Turun naik harga barangan di negara luar akan juga mempengaruhi harga barangan dalam negara kita. Ini kerana sistem ekonomi kita telah diikat. Cara kita diikat ialah melalui nilai ringgit yang diukur mengikut nilai dolar. Kita juga – malah seluruh dunia – dipaksa menggunakan dolar Amerika dalam hal jual beli minyak dan ekspot impot.

Pada ketika ini Amerika sedang berperang dengan rakyat Iraq, Afghanistan, Pakistan dan tidak lama lagi dengan rakyat Iran. Perang telah membawa musibah yang maha sangat ke atas ekonomi Amerika. Pada hari ini ekonomi Amerika dalam keadaan lintang pukang.

Ketika ini pengangguran ditahap paling tinggi dalam sejarah Amerika. Kilang-kilang banyak yang ditutup. Berpuluh puluh bank besar dan kecil jatuh muflis. Rumah-rumah banyak yang diambil kembali oleh bank kerana gagal membayar hutang pinjaman. Semakin ramai warga tidor dalam kereta atau merempat. Suasana zaman meleset tahun 1929 telah berulang sekali lagi di Amerika.

Kerajaan Amerika perlu mencari dana untuk menampung perbelanjaan perang. Perang di Iraq memerlukan satu bilion dolar sehari. Hakikatnya pada hari ini Amerika Syarikat telah lama jatuh bangkrap.

Justeru untuk mengapongkan Amerikan dari tenggelam, kerajaan Amerika telah meminjam duit dari Federal Reseve. Caranya cukup senang. Federal Reserve telah mencetak duit dan mengagihkan duit ini kepada kerajaan Amerika. Hutang pinjaman ini akan dibayar oleh warga Amerika. Dengan kekuatan bala tentera kuasaimperial Amerika telah memaksa negara negara kapitalis yang lain termasuk Malaysia untuk menggunakan dolar ini – dolar yang tidak memiliki apa-apa nilai. Selain dari nilai takut – takut digudam oleh bala tentera Amerika.

Perang yang berterusan ini masih tidak nampak pintu damai dan sedah memerosotkan nilai dolar. Apabila nilai dolar merosot maka barang yang kita ekspot bertambah murah. Dalam masa yang sama barang yang kita beli bertambah mahal. Minyak yang kita jual juga menjadi murah kerana kita dipaksa menjual dengan menggunakan dolar.

Semua pembekal – besi, beras, makanan, sayuran – malah apa sahaja yang kita impot dari luar – harganya akan dinaikkan untuk mengimbangi nilai dolar yang jatuh. Negara lain juga tidak mahu mata wang dan ekonomi negara mereka ditarik kebawah oleh kemorosotan nilai dolar. Laku mereka menaikkan harga barangan yang mereka ekspot. Akhirnya barang ini kita beli dengan harga yang semakin mahal.

Satu pekara yang sedang menjerut sistem kapitalis antarabangsa ialah kekurangan bahan bakar petrolium. Setiap hari bahan bakar ini semakin berkurangan. Bahan bakar ini adalah penjana tenaga yang maha penting dalam sistem kapitalis antrabangsa ini. Tanpa bahan bakar ini sistem kapitalis antrabangsa ini akan runtuh.

Apabila harga bahan bakar petrolium naik dipasaran antarabangsa maka tidak dapat tidak harga minyak dalam negara kita akan naik juga. Ini telah dan sedang kita lihat berlaku. Kenaikkan harga bahan bakar petrolium ini akan melibatkan asas ekonomi kapitalis. Tidak ada yang selamat dari bencana yang akan dibawa oleh kekurangan bekalan bahan bakar petrolium ini. Apabila bahan bakar petroilum kurang dipasaran dunia maka semua negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis akan menghadapi krisis yang maha besar.

Harus kita semua menerima hakikat bahawa bahan harga bakar petrolium ini akan terus naik dari hari ke hari. Ini kerana minyak makin berkurangan. Ini juga bermakna semua harga barangan yang kita lihat hari ini akan terus berubah menjadi lebih tinggi.

Kerajaan Najib Rosmah ketika ini telah mula menjalankan dasar untuk melupuskan subsidi. Ini adalah atas tekanan kaum pemodal tempatan dan antrabangsa. Mengikut hujah jahat kaum kapitalis harga barangan tidak perlu disubsidi kerana ini akan menempangkan pasaran. Untuk kaum kapitalis tuhan mereka ialah pasaran. Pasaran lah yang akan menentukan semua.

Kerajaan Najib Rosmah tidak ada pilihan. Najib sendiri dengan kes pembunuhan Altantuya sebagai latarbelakang tidak dapat melarikan diri dari tekanan Amerika. Dalam masa yang Najib juga memerlukan sokongan para cukong dari MCA. Para cukong kini telah mula bersuara untuk meminta kerajaan kurang memainkan peranan dalam percaturan ekonomi negara. Ini kerana para cukong dan kapitalis antarabanga mahu harta-harta rakyat yang masih dipegang oleh kerajaan dapat mereka bolot.

Yakinlah dalam masa yang terdekat lebih banyak barang akan dinaikan harga. Lebih banyak subsidi akan ditarik kembali. Rakyat Malaysia hanya ada satu pilihan mengubah kerajaan yang ada sekarang atau terus terperangkap dalam saistem ekonomi yang menindas.

(TT)