Rusuhan dan Masyarakat Kita yang Pentingkan Diri

Featured

Do they think that because We have granted them abundance of wealth and sons; 
We would hasten them on in every good? Nay, they do not understand; 
Verily those who live in awe for fear of their Lord; 
Those who believe in the Signs of their Lord; 
Those who join not (in worship) partners with their Lord; 
And those who dispense their charity with their hearts full of fear, because they will return to their Lord;- 
(Surah Al-Mu’minun, Verse 55-60)

Masyarakat pentingkan diri sendiri: Materialisma dan perasaan mementingkan diri telah menjadi kebiasaan di Britain, menurut sebuah buku baru

Masyarakat pentingkan diri sendiri: Materialisma dan perasaan mementingkan diri telah menjadi kebiasaan di Britain, menurut sebuah buku baru

“Dia memang kejam. Dia akan melangkah dan memijak seiapa pun.  Dia akan telan mereka dan ludah keluar untuk sarapannya. Itu yang membuatkan saya amat tertarik dengan dia.” – Alan Sugar mengatakan tentang calon The Apprentice (Siri Tujuh, Episod Lapan).

Ingatkah kita semasa rusuhan yang melanda seluruh Britain dulu? Adegan keganasan dan rompakan yang berlaku amat sedih sekali untuk ditonton.  Bagaimana Britain moden sampai ke tahap begini? Siapa yang bertanggungjawab? Bagaimana kita memastikan perkara begini boleh dibaik pulihkan? Perusuh penting diri sendiri, tiada disiplin dan hormat kepada orang lain, melolong David Cameron bersama rakan yang berideologi setentang dengannya. Jika ini benar, ia mestilah ada kena mengena dengan hakikat yang fahaman kolot dibenarkan berkembang dalam masa yang agak lama. Sue Gerhardt menerangkan:

” Bagi sebahagian besar tempoh sejak kebangkitan kapitalisma perindustrian di awal abad kesembilan belas, nilai murni antara seperti perpaduan dan kerjasama telah tidak diinginkan pihak berkuasa, walaupun mereka telah diawasi oleh pergerakan kesatuan pekerja dan kumpulan sosialis sehingga lewat kurun ke dua puluh. Akhirnya, bagaimanapun, nilai-nilai ini telah terhakis oleh kemakmuran yang kian meningkat dan juga usaha mengejar jaminan material mengatsi segala yang lain – sebuah projek yang merebak dari kelas pertengahan ke bawahan setelah kekayaan meningkat. Budaya baru dilahirkan iaitu ‘saya’ dengan mengorbankan ‘kami’ (Gerhardt, 2010, ‘The Selfish Society’, P.25).

Materialistik: Kanak-kanak tidak dilahirkan ingin Gucci T-shirt. Mereka dilahirkan mahu kasih sayang, perhatian, keselamatan dan sempadan

Materialistik: Kanak-kanak tidak dilahirkan ingin Gucci T-shirt. Mereka dilahirkan mahu kasih sayang, perhatian, keselamatan dan sempadan

Dakwaan bahawa ibubapa yang harus dipersalahkan nampaknya seperti munasabah, tapi Gerhardt pantas menunjukkan bahawa:

“Walaupun adalah sebahagian besarnya ibubapa itu sendiri yang menyampaikan kebanyakkan mesej-mesej ini tanpa disedari kepada anak-anak mereka, kelakuan moral kita – pentingkan diri atau tidak – bukan hanya mengenai nilai-nilai seorang ibubapa tadi. Ibubapa itu sendiri yang banyak dipengaruhi oleh hubungan sosial mereka. Tanpa menyedarinya, mereka sampaikan budaya itu yang mana mereka sendiri bergelumang didalamnya. Sama seperti kanak-kanak yang tidak dapat memilih dilahirkan dalam keluarga mana, begitu juga ibubapa tidak memilih masyarakat sekeliling mereka. Mereka bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan nilai-nilai itu, selalunya tanpa sengaja. Sekiranya semua orang di sekeliling kamu berkelakuan mementingkan diri, ia adalah sukar untuk tidak sertainya”(ibid, p.9).

Apa yang dapat kita lihat apabila melihat di sekeliling? Askar yang dihantar untuk berjuang dalam peperangan kerana minyak, ahli-ahli politik rakus menuntut perbelanjaan palsu, wartawan tidak bermoral menggodam telefon kanak-kanak yang dibunuh. Juga mustahil untuk kita mengabaikan obsesi media terhadap artis dengan pertunjukan yang suka mempamerkan kekayaan dan keistimewaan mereka.

Kita tidak dilahirkan dengan keinginan membara untuk memakai kasut sukan Nike dan jam tangan Rolex. Kita mahukannya kerana kita digalakkan untuk percaya bahawa mempunyai barangan-barangan mahal akan membuat kita gembira. Oleh itu, tidak hairanlah kedai-kedai berjenama telah dirompak oleh orang-orang yang dikecualikan daripada kepenggunaannya kerana kurangnya sumber ekonomi mereka. Belian secara berlebihan telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Barat, tetapi ia tidak membuatkan kita benar-benar gembira. Ia memberikan suatu khayalan kebahagiaan apabila nilai-nilai yang kita benar-benar idamkan, seperti sikap baik hati dan kerjasama, tidak dibenarkan untuk berkembang. Ini bertepatan dengan kaum kapitalis kerana mereka boleh terus menjarah dan mengaut keuntungan jika rakyat itu sendiri berkehendak dan membeli lebih banyak barangan-barangan.

Memang sangat mudah bagi ahli-ahli politik untuk berlagak dan tegas mengenai rusuhan. Walau bagaimanapun, jika mereka benar-benar mahu membina sebuah masyarakat yang kurang mementingkan diri sendiri, mereka mesti berhenti memenuhi kehendak permintaan kaum pemodal, golongan kaya elitis yang dambakan diri sendiri dan mula memenuhi keperluan sebenar kumpulan sosio-ekonomi yang termiskin.

Artikel asal: Orwell’s Memory Hole

Memahami Kapitalisma

DARI MANA HARTA KEKAYAAN DATANG

Harta kekayaan datang dari tenaga manusia. Harta Qaroon sekali pun ianya terkumpul dari hasil tenaga manusia. Kena loteri pun duitnya berpunca dari tenaga manusia yang telah di tipu. Justeru semua harta kekayaan didalam dunia ini adalah hasil tenaga kerja manusia. Sejarah dunia ini ialah sejarah manusia membuat pekerjaan. Tidak ada harta terpijak.

Tulang empat kerat dan otak fikrah manusialah yang melahirkan dunia yang kita lihat hari ini. Semua kebaikan dalam dunia ini adalah hasil perbuatan manusia. Semua kebejatan dan kerosakan alam ini juga adalah hasil kerja tangan manusia.

Apabila manusia bekerja dia melaburkan tiga pekara asas: tenaga, masa dan fikrah. Tiga pekara inilah yang menjadi asas ekonomi. Dari Zaman Batu, ke Zaman Gangsa, ke Zaman Wap, ke Zaman Leterik, ke Zaman Nuklear hingga ke Zaman Internet hari ini – yang menjadi asas ekonomi masih lagi tiga perkara ini.

Semua harta kekayaan – dalam apa sahaja bentuk – yang di miliki oleh sesiapa pun didalam dunia ini tidak dapat tidak berpunca dari tiga asas ini.

Pak Tani ke sawah – dia membanting tulang – menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan padi dan beras. Dia menggunakan akal fikiran untuk mencari masa dan ketika yang baik untuk menyemai, mengubah, merumput dan menuai padi. Pak Cik Felda bertungkus lumus menanam sawit, membaja pokok, memotong buah dan mengumpul buah. Pak Cik Felda juga menggunakan akal fikiran tentang cara terbaik untuk membaja, menarah pokok dan memilih buah.

Tiga pekara ini tidak akan lari sebagai asas ekonomi – masa , tenaga dan fikiran.

Jika sesiapa yang telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo akan bertemu dengan ayat – di belakang semua kekayaan ialah jenayah. Kata-kata ini ada unsur-unsur kebenaran. Semua manusia yang kaya raya didalam dunia mendapat harta kekayaan hasil dari merompak – tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Towkay atau Tok Peraih yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Ertinya Tok Peraih membeli dengan harganya yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. Tok Peraih akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi – ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya ialah nilai lebihan hasil dari tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi.

Sekarang sapa yang dok kaya?

Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sahingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan – orang-orang tengah ini menokoh tambah nilai harga tenaga asal titik peloh Pak Tani. Si Pengilang, Si Pembungkus, Si Pengangkut, Si Pengiklan dan Si Peruncit – semua ini adalah orang tengah yang hidup kaya raya diatas titik peluh Pak Tani.

Orang-orang tengah ini berligar-ligar memusing-musing perniagaan untuk mendapat keuntungan maksima. Justeru – Pengilang beras jadi kaya, Pengedar beras jadi kaya atau Pembekal beras jadi kaya. Jangan terperanjat ada diantara peniaga beras – di Bursa Saham Wall Street New York atau City of London – tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya raya berniaga padi dan beras. Yang terus miskin ialah si Pak Tani. Ini lah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis dimana harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Mekanisma yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani ialah Pasaran atau Market. Ini sebenarnya satu pembohongan. Pasaran ini di kawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri. Tok Peraih, Si Pengedar, Si Pembekal – semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksima. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal.

Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh Orang Tengah atau Lintah Darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka hodoh Lintah Darah ini mereka memanggil diri mereka – Ahli Perniagaan, Usahawan, Pemaju, Pengimpot, Pengekpot atau Pengedar. Hakikatnya mereka hidup diatas usaha orang lain.

Kita juga selalu melihat, membaca atau mendengar ada Sang Kontrektor atau Sang Pemaju menjadi kaya raya. Ini bukan bermakna si Pemaju ini hebat, bijak atau dia berjemur dalam panas terik membanting tulang. Apa yang lakukan oleh si Pemaju ialah mencari tenaga kerja buruh termurah. Kerana itu di Malaysia kita mengimpot buruh dari luar negara untuk membayar upah tenaga kerja dengan murah.

Kita panggil ini gaji. Gaji ialah pertukaran masa, tenaga dan fikrah si Buruh yang membuat kerja. Jumlah duit yang dibayar untuk pertukaran ini akan dinilai oleh si Pemaju. Si Pemaju sama seperti Tok Peraiah akan menilai masa, tenaga dan fikrah Buruh ini dengan nilai yang terendah. Gaji yang murah akan menjanjikan keuntungan yang lebat untuk si Pemaju. Justeru si Pemaju binaan tidak akan mengambil buruh dari New Zealand atau Sweden – tidak mungkin – mereka mengambil dari Indonesia, Burma dan Nepal.

Harus kita sedari bahawa seorang buruh Sweden keupayaan kerjanya adalah sama dengan buruh dari Nepal atau Indonesia. Tetapi ada perbezaan bayaran. Perbezaan bayaran ini untuk memastikan si Pemaju mendapat keuntungan yang maksima. Rumah atau bangunan yang di dirikan oleh tenaga buruh dari Indonesia atau Nepal dapat dijual dengan keuntungan lebih banyak. Keuntungan berlaku kerana tukaran tenaga, masa dan fikrah itu tidak setimpal dengan nilai tenaga pemburuhan itu.

Justeru terbukti Si Kontrektor dan Pemaju jadi kaya raya bukan kerana mereka hebat tetapi kerana mereka hidup mengumpul titik peluk dan tenaga beratus-ratus kaum buruh yang kemudiannya dijadikan keuntungan dan modal. Lagi ramai tenaga buruh yang di gunakan lagi besar modal yang dapat di kumpulkan.

Jika kita telah memahami asas dari mana punca modal dan keuntungan datang maka amat senang untuk kita memahami kenapa pula negara-negara Dunia Ketiga – Asia, Afrika dan Latin Amerika terus miskin dan susah. Dari sini kita juga akan faham kenapa Eropah, Jepun, Amerika, Canada dan Australia terus menjadi kaya dan dapat mengumpulkan modal untuk warga mereka hidup lumayan.

Dalam konteks ekonomi kapitalis global – semua negara-negara Dunia Ketiga tarafnya samalah seperti Pak Tani dan Buruh Imigran. Malaysia, Singapura dan China ini adalah buruh-buruh imigran. Thailand, Cina, Indonesia, Vietnam adalah Pak Tani yang mengeluarkan makanan. Hasil dari sistem ini warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika terus hidup dalam kemiskinan. Tenaga, masa dan fikrah warga di negara-negara ini di nilai dengan rendah justeru upah untuk masa, tenaga dan fikrah mereka amat sedikit.

Dalam sistem kapitalis ini, yang mendapat kekayaan adalah kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di New York, Paris dan London. Kaum pemodal antrabangsa ini mengajukan kepada kita semua agar menggunakan sistem ekonomi kapitalis yang telah mereka cipta. Warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika di taburkan dengan pelbagai tipu helah dan paksaan agar menerima sistem ekonomi kapitalis tanpa apa-apa pilihan. Kaum pemodal Anglo-Amerika mengatakan bahawa tidak ada sistem ekonomi yang lain melainkan sistem kapitalis. Ini bohong.

Jadi dalam konteks ekonomi kapitalis global, kita di Malaysia dilihat sebagai buruh imigran oleh kaum pemodal Anglo-Amerika. Justeru, buruh imigran tidak memiliki banyak hak. Buruh imigran ini selalu ditakut-takutkan dengan pelbagai undang-undang dan akta. Mereka tidak ada kesatuan yang ampuh untuk memperjuangkan hak mereka.

Buruh imigran ini tidak mungkin akan dapat mengubah dam memperbaiki hidup dalam sistem yang ditaja oleh Tuan Empunya Modal atau Kilang. Sebagai buruh kilang kita akan terus mendapat gaji yang rendah. Kita tidak akan memiliki kualiti kehidupan yang lumayan untuk kita memperluaskan keupayaan diri sebagai insan untuk membuat kebaikan. Malah kita juga dilarang untuk berilmu dan berfikiran bebas.

Seperti Pak Tani di Kuala Muda Kedah hidup mereka akan berterusan dalam kemiskinan kerana Tok Peraih Beras dan Tuan Punya Kilang Beras tidak akan membenarkan Pak Tani ini faham akan susur galur perjalanan sekampit padi itu. Pemodal pemodal antara bangsa di Bursa Saham Wall Street dan City of London tidak akan membenarkan Pak Tani dan Buruh Kilang mengubah cara urus niaga ini. Mereka menyediakan mandor-mador yang ganas untuk memastikan sistem ekonomi ini berteruskan.

Di Malaysia mandor yang telah di pilih oleh kuasa pemodal Anglo-Amerika semenjak tahun 1957 ialah gerombolan United Malays National Organisation. Mana mungkin Tok Peraih dan Sang Pemaju dan para mandor ini mahu berubah sistem kerana sistem kapitalis ini telah memberi memberi mereka keuntungan maksima dan modal yang melimpah tanpa mereka membanting tulang bekerja.

(TT)

Mari Kita Bersama Memahami Apa Dia Sistem Dua Parti

WALAU PUN TULISAN ARAB – IANYA MASIH MILIK MUSUH UMAT MANUSIA

PEPSI DAN COKE – ADIDAS DAN PUMA

Pada tahun 2009 ini wacana politik dalam negara kita cuba menyebarkan berita tentang kemungkinan terwujudnya sistem dua parti – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Malah huh hah huh hah tentang sistem dua parti ini telah tersebar lama. Ada yang menyeringai gembira seperti di malam pertama bedua-duaan di bilik bersama kekasih bila mendengar kemungkinan ini.

Sistem dua parti ini adalah satu penipuan. Satu illusi yang dirancang oleh kaum pemodal. Satu pemesongan projek demokrasi yang amat terancang untuk mengkaburi mata orang ramai agar gagal melihat intipati politik dan makna hakiki demokrasi.

Lalu saya bertanya adakah sesiapa yang dapat membezakan Pepsi dengan Coke? Adakah sesiapa yang dapat membezakan Adidas dengan Puma? Hakikatnya – pemilik saham Pepsi adalah juga pemilik saham Coke. Hakikatnya – Puma dan Adidas adalah dua beradik yang membuka peniagaan yang sama – satu kedai di kiri jalan dan sebuah lagi di kanan jalan. Kedua-duanya mengamalkan sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan. Yang membezakan hanya ejaan nama yang bermula dengan A dan P.

Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat. Apa yang mereka pertahankan bukan saekar kebun getah atau sebuah Kancil. Yang mereka pertahankan ialah sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembongkan saku dan dompet mereka. Sistem ini telah menjadikan mereka senang lenang dan kaya raya dengan harta berbilion-bilion dolar dan ringgit.

Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia dalam dunia hari ini sebenarnya adalah kuasa kaum pemodal. Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik and parti apa yang turun. Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan. Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di parlimen untuk mengubal undang-udang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi.

Perhatikan bagaimana undang-undang yang diluluskan di parlimen TIDAK akan dan TIDAK pernah menyebelahi kepada kepentingan kaum buruh atau kaum pekerja. Perhatikan cukai mukai yang di kenakan. Pemotongan cukai untuk kaum pemodal akan diutamakan. Dalam masa yang sama mereka yang miskin akan berselirat dengan cukai mukai. Kalau tidak percaya sila tunggu cukai baru : Cukai Barang dan Khidmat. Akan terlondeh seluar dalam Mak Minah dan akan tergadai Cupcai Pak Ali bila cukai ini sampai.

Jika masih belum yakin biar saya nyatakan satu lagi contoh terbaik : lihat apa yang terjadi kepada dasar kerajaan Pakatan Selangor yang melarang bangunan didirikan di lereng bukit. Ini cita-cita Pakatan Rakyat ketika berkempen untuk membawa kebaikan dan keselamatan kepada warga. Lihat apa yang berlaku dibelakang tabir. Kaum pemodal – pemaju dan para kontrektor telah melobi. Akhirnya larangan ini ditarik kembali. Kenduri menarah bukit diteruskan kembali.

Lihat pula apa yang terjadi apabila berlaku runtuhan di Bukit Antarabangsa. Laporan yang ingin diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal kerana laporan ini disimpai oleh Akta Rahsia. Akta seperti ini semuanya diwujudkan untuk memastikan kaum pemodal – syarikat pemaju , kontrektor dan syarikat air – terselamat dan keuntungan mereka terjamin. Yang mati terkambus telah selamat ditalkinkan – jangan buat bising biarkan badan mereka dimakan cacing.

Ini bukan tohmah, propaganda atau berita putar yang saya ajukan kerana saya muflis dan tidak memiliki harta kekayaan. Ini adalah hakikat dihadapan mata kita. Buka mata dan dengar. Buka telinga dan lihat. Klik komputer dan baca. Jangan menjadi Mat Malas. Ketuk kepala lutut dan goncangkan kepala untuk berfikir. Nilai dan fahami mana yang tohmah, mana yang putar alam dan apa dia kebenaran

Kaum pemodal dan para kapitalis bergerak dengan licik. Ketika ini kaum pemodal di Malaysia melihat dan membaca tanda-tanda politik yang sedang berlaku dalam negara ini. Mereka menyedari bahawa gaya dan politik lama yang selama ini membawa keuntungan yang amat lumayan tidak mungkin akan berterusan. Apa yang terjadi pada 8 March 2008 mengajar mereka untuk memahami bahawa warga dalam negara ini mahukan perubahan dan sedang menuntut hak demokratik mereka.

Dengan arif dan dengan wang ringgit – kaum pemodal merancang untuk melahirkan apa yang dipanggil sistem dua parti. Contoh sistem dua parti ini sedang kita lihat berjalan dengan lancar di United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Di UK ada Parti Konservatif dan Parti Buruh. Di Amerika ada Parti Republican dan Parti Democrat.

Parti-parti ini bertukar ganti untuk menjalankan pentabiran. Madame Thatcher dari Parti Konservatif akhirnya diganti oleh Tony Blair dari Parti Buruh. George Bush Senior dari Republican di ganti oleh Bill Clinton dari Democrat. Kemudian Clinton di ganti oleh George Bush Junior yang kemudiannya digantikan pula oleh Barack Obama dari Parti Democrat.

Parti politik dan susuk yang memimpin pentabiran kelihatan ini bertukar berganti. Tetapi hakikatnya sistem ekonomi kapitalis tidak berubah. Inilah dia silap mata Pepsi Cola dan Coca Cola yang selama ini telah berjaya menipu. Kapitalisma tidak berganjak. Kaum pemodal tidak hilang keuntungan walau parti mana pun yang naik atau turun.

Justeru, perubahan antara Democrat ke Republican atau dari Konservatif ke Parti Buruh hanyalah satu ilusi untuk menipu orang ramai. Tidak ada apa-apa perubahan yang hakiki telah berlaku. Tuan punya bank masih kaya raya. Tuan punya kilang masih memerah tenaga buruh murah. Para kontrektor masih membalon orang ramai. Cukai masih di tahap yang sama. Kaum pemodal terus melipatkan gandakan keuntungan.

Orang ramai dan para pengundi digula-gulakan dengan perubahan dari parti ini ke parti itu. Dari presiden yang ini ke presiden yang itu. Ini adalah helah kaum pemodal agar orang ramai tidak akan menuntut perubahan sistem yang sedia ada.

Didalam kempen-kempen pilihan raya kita akan mendengar labon dan heboh heboh dari Mat Heboh yang ingin menjadi YB. Teliti dengan rapi : mereka semuanya berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik dari yang sedia ada.

Apa sebenranya janji-janji para Mat Heboh bakal YB ini? Mereka berjanji akan menjalankan pentabiran dengan lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih. Ini ertinya mereka berjanji akan menjadi Mat Heboh yang lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih kepada kaum pemodal. Merekalah Mat Heboh yang terbaik untuk mengendalikan sistem ekonomi kapitalis ini.

Tidak pernah kita mendengar bahawa yang haprak dan yang membawa kemudaratan terhadap umat manusia hari ini ialah sistem ekonomi kapitalis yang mengajukan rukun iman : keuntungan maksima.

Rukun iman inilah yang sedang membawa porak peranda kepada kita semua hari ini. Keuntungan maksima yang dijadikan rukun iman ini akan membolehkan apa sahaja dilakukan asalkan ianya membawa untung. Balak dikeluarkan kerana ianya membawa untung. Pelacur datang dari China kerana ianya membawa untung. Hospital diswastakan kerana ianya membawa untung. Dadah diniagakan kerana ianya membawa untung.

Jika kita menyedari hakikat ini maka kita tahu bahawa sistem dua parti ini adalah kong kalikong. Tidak ada apa apa perubahan hakiki yang akan berlaku jika yang diajukan untuk dipilih hanyalah siapa yang lebih cekap mentabir sistem kapitalis.

Adakah Barisan Nasional lebih baik untuk keuntungan kapitalis atau Pakatan Rakyat yang akan mentabir dengan baik sistem kapitalis ini? Jika ini yang dipersoalkan maka saya jamin kita semua kena tipu oleh kaum pemodal dengan sistem dua parti yang sedang mereka rancangkan.

Apa yang seharusnya kita tuntut bukan sistem dua parti. Bukan siapa yang lebih cekap dan lebih amanah mentabirkan sistem kapitalis. Yang wajib menjadi rukun iman kita ialah menghancurkan sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksima. Yang menjadi rukun iman kita ialah kita berjuang untuk melahirkan sistem ekonomi yang berasaskan kebajikan untuk umat manusia.

Sistem dua parti atau dua ratus buah parti ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki jika kita masih lagi dalam sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maksima. Apa yang wajib kita sokong bukan mereka yang berijazah, berdatuk, bertun atau berserban – ini tidak penting. Yang penting ialah mereka yang kita pilih akan berani bangun berjuang untuk melahirkan satu sistem ekonomi yang berimankan kebajikan untuk manusia.

Kita jangan ditipu untuk diberi pilihan sama ada untuk membeli kasut Adidas atau kasut Puma. Kita mahukan kasut kulit yang baru. Kita jangan ditipu untuk memilih Coke Cola atau Pepsi Cola. Kita tidak mahu minuman itu. Kita mahu air advocado yang sehat untuk umat manusia.(TT)

nota: tulisan ini boleh diambil untuk membuat kebaikan